Mengenang Tun Rahah: Sultan Perak, Sultan Selangor antara yang hadir di Masjid Ar-Rahah

Firdaus Azil
Disember 19, 2020 02:57 MYT
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan hadir menziarah jenazah Allahyarhamah Tun Rahah Mohamed Noah tiba di Masjid Ar-Rahah hari ini. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah merupakan antara kenamaan yang hadir ke Masjid Ar-Rahah, Kampung Kerinchi, di sini, bagi memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Tun Rahah Mohamed Noah hari ini.
Kenderaan yang membawa Sultan Sharafuddin tiba di pekarangan masjid kira-kira jam 9.30 pagi sementara kenderaan yang membawa Sultan Nazrin, kira-kira jam 9.50 pagi.
Terdahulu, motoked Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) yang membawa jenazah isteri kepada Perdana Menteri Kedua Tun Razak Hussein, dan ibu kepada Perdana Menteri Keenam Datuk Seri Najib Razak itu, tiba di pekarangan masjid kira-kira pukul 7.50 pagi.
Najib kemudiannya tiba kira-kira pukul 8.10 pagi bagi menyaksikan urusan penghormatan terakhir kepada arwah ibunya.
Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad turut meluangkan masa kira-kira 30 minit di Masjid Ar-Rahah.
Orang awam mula dibenarkan masuk ke perkarangan masjid untuk sama-sama memberi penghormatan, sebelum solat jenazah dilakukan, dijangka selepas waktu Zohor.
Mengikut aturcara Istiadat Pengebumian Negara, jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Negara selepas selesai penghormatan terakhir untuk dikebumikan di Lingkaran Makam Pahlawan.
Beberapa orang awam yang ditemui di luar perkarangan masjid rata-rata berkongsikan pemerhatian yang sama, iaitu Tun Rahah seorang yang mempunyai keperibadian yang mulia, cekal membesarkan anak-anak selepas pemergian Tun Razak dan sentiasa merendah diri.
Tun Rahah, 87 tahun, meninggal dunia sekitar jam 4.45 petang Jumaat (18 Disember) di Pusat Perubatan Prince Court di ibu negara.
#Sultan Nazrin Shah #Sultan Sharafuddin Idris Shah #Mahathir Mohamad #jenazah #Najib Razak #Tun Rahah #penghormatan terakhir #Masjid Ar-Rahah