Mengenang Tun Rahah: Malaysia kehilangan seorang wanita hebat - Wakil rakyat DAP

Hafizi Rosli
Disember 19, 2020 11:58 MYT
Dari kiri, Yeo Bee Yin, Young Syefura Othman dan Teresa Kok, antara yang hadir memberi penghormatan terakhir kepada jenazah Tun Rahah di Masjid Ar-Rahah, Kuala Lumpur hari ini. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Malaysia kehilangan seorang wanita yang hebat dan disegani dengan pemergian Allahyarham Tun Rahah Mohamed Noah pada petang Jumaat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari Young Syefura Othman berkata, ketabahan Allahyarham memelihara lima putera selepas pemergian Allahyarham Tun Abdul Razak mempamerkan kegigihannya.
Bonda kepada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak itu dilihat sebagai seorang wanita yang tabah dan harus dicontohi wanita lain, kata wakil rakyat dari DAP itu.
"Kehilangan suami ketika masih muda, dan terpaksa memelihara lima putera, menunjukkan ketabahan dan kehebatan Allahyarham.
"Semoga Najib tabah menghadapi dugaan kehilangan bonda tercinta," kata Young Syefura ketika memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham di Masjid Ar-Rahah, di sini, hari ini.
Turut hadir memberi penghormatan terakhir, Ahli Parlimen Bakri Yeo Bee Yin yang menyifatkan saat ini sebagai sangat sukar bagi keluarga Allahyarham.
Sementara itu, Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok turut mengucapkan salam takziah kepada Najib dan keluarga.
Tun Rahah, 87 tahun, meninggal dunia sekitar jam 4.45 petang Jumaat (18 Disember) di Pusat Perubatan Prince Court di ibu negara.
Penghormatan terakhir di Masjid Ar-Rahah, Kampung Kerinchi berlangsung dari jam 9 pagi hingga 1 tengah hari sebelum jenazah dibawa ke Masjid Negara, Kuala Lumpur.
BACA: "Ibu ratu hatiku" - Najib kongsi gambar kenangan bersama ibu tercinta
BACA: 'Kasih sayangnya tidak terhingga.. saya pasti akan merinduinya' - Nazir Razak
#DAP #Mengenang Tun Rahah #isteri Perdana Menteri #Pengebumian Negara #Tun Rahah #Teresa Kok #Najib Razak #jenazah #meninggal dunia #Young Syefura Othman #wakil rakyat #Yeo Bee Yin
;