Mengenang Tun Rahah: Hari yang amat sedih buat kita semua - Azmin Ali

Fareez Azman, Ridauddin Daud
Disember 18, 2020 22:10 MYT
Hari yang amat sedih buat Malaysia, kata Menteri Kanan, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengulas pemergian Tun Rahah Tan Sri Mohamed Noah pada Jumaat. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Hari yang amat sedih buat Malaysia, kata Menteri Kanan, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengulas tentang pemergian Tun Rahah Mohamed Noah pada Jumaat.
Bahkan beliau sempat mengimbas kenangannya menghadiri pengebumian suami kepada Tun Rahah iaitu Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak Hussein pada 1976.
Menurutnya, kedua-dua tokoh itu memberikan sumbangan besar kepada negara.
“Sudah tentu pemergian ini adalah satu kehilangan yang amat besar kepada negara kerana Tun Razak dan Tun Rahah merupakan tokoh penting dalam pembentukan negara.
“Saya masih ingat Tun Razak meninggal dunia pada 1976, ayah saya membawa saya menghadiri majlis pengebumian pada masa itu kerana rakyat Malaysia melihat kepimpinan Tun Razak sebagai tokoh negarawan terbilang dan amat disegani.
“Sudah tentu jasa dan pengorbanan Tun Rahah penting untuk membantu suaminya memimpin negara,” katanya ketika ditemui selepas memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarhamah di kediamannya di Jalan Eaton di sini.
BACA: Tun Rahah meninggal dunia
Dalam pada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang turut hadir merakamkan ucapan takziah buat semua keluarga Allahyarham.
“Mudah-mudahan Allah beri kehidupan keberkatan kepada kehidupan masing-masing, kesabaran. Saya doakan Allahyarham ditempatkan bersama para solihin
“Saya tidak katakan kepada Allahyarham kecuali yang baik-baik, jasanya, sikapnya, kesabarannya, dermawannya dan segala sifat terpuji dengan sifat keibuan terwujud padanya.
“Insya-Allah, Allah ganjarkan padanya ganjaran untuk orang-orang yang soleh,” katanya ketika ditemui di luar kediaman Tun Rahah.

Astro AWANI sedang mengikuti perkembangan terkini pemergian Allahyarham Tun Rahah di saluran 501, Live TV di platform digital dan semua platform media sosial Astro AWANI.
#Tun Rahah Mohamed Noah #Menteri Kanan #Mohamed Azmin Ali #Tun Abdul Razak Hussein #Jalan Eaton #Zulkifli Mohamad Al-Bakri
;