Mengenang Tun Daim: Saya kehilangan mentor - Syed Saddiq

Hasimi Muhamad
November 13, 2024 15:40 MYT
Syed Saddiq ketika ditemui pemberita selepas menziarahi jenazah Allahyarham di Persiaran Bukit Tunku di ibu negara pada Rabu. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Pemergian bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin memberi kesan bukan sahaja kepada pemimpin veteran tetapi juga pemimpin muda seperti Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Berkongsi kesedihan tersebut, Ahli Parlimen Muar itu berkata, Allahyarham Tun Daim adalah mentornya ketika awal penglibatan dalam arena politik.
“Saya kehilangan seorang mentor di mana Malaysia kehilangan seorang negarawan yang banyak berjasa kepada negara tercinta.
“Saya terhutang budi kepada Tun Daim kerana banyak membimbing dan mendidik, serta sentiasa bersama apabila saya jatuh dan bangun,” kata Syed Saddiq ketika ditemui pemberita selepas menziarahi jenazah Allahyarham di Persiaran Bukit Tunku di sini pada Rabu.
Mengenang Tun Daim: Jenazah Tun Daim dijangka dikebumikan selepas Asar
Bekas Menteri Belia dan Sukan itu menambah, malah sebelum beliau terjun dalam bidang politik, Allahyarham Tun Daim sentiasa meletakkan kepercayaan kepadanya untuk membina nilai-nilai yang baik.
“Saya perlu mencurahkan kerja keras, dan ketahanan yang hebat untuk menjadikan Malaysia sebagai negara yang hebat,” ujar beliau lagi.
Dalam masa sama, Syed Saddiq menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga atas kehilangan Allahyarham Daim.
Tun Daim tulang belakang Dr Mahathir
Sementara itu, Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Datuk Ibrahim Ali berkata, Allahyarham Tun Daim adalah tulang belakang di sebalik kejayaan Tun Dr Mahathir Mohamad memimpin Malaysia selama 22 tahun.
Ujar Ibrahim, beliau juga mempunyai hubungan yang akrab dengan Allahyarham dan sering berjumpa secara tidak rasmi.
“Sebab itu saya tidak hairan bila Tun Mahathir mengatakan beliau kehilangan seorang sahabat yang sangat karib dan akrab,” kata Ibrahim.
Daim yang berusia 86 tahun menghembuskan nafas terakhir sekitar jam 8.21 pagi tadi di Hospital Assunta di Petaling Jaya.
Allahyarham berkhidmat sebagai Menteri Kewangan dua kali, yang pertama dari 1984 hingga 1991 di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir di mana beliau memainkan peranan penting dalam mengurus ekonomi Malaysia dan melaksanakan pelarasan struktur.
Beliau kemudian kembali untuk penggal kedua dari 1999 hingga 2001, sekali lagi di bawah Dr Mahathir, untuk menangani isu ekonomi berikutan krisis kewangan Asia ketika itu.
Dilahirkan pada 29 April 1938 di Kedah, Allahyarham pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen selama lima penggal antara 1982 dan 2004.
#Tun Daim meninggal #Syed Saddiq Syed Abdul Rahman #mentor #Ibrahim Ali
;