Mengenang Tun Daim: 'Kerajaan iktiraf jasa, sumbangan kepada negara' - PM Anwar

Khalis Khadir
November 13, 2024 16:00 MYT
Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataan di Facebook berkata, kerajaan mengiktiraf sumbangan Allahyarham kepada negara.
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah terhadap pemergian bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin.
Menerusi kenyataan di Facebook, beliau berkata, kerajaan mengiktiraf sumbangan Allahyarham kepada negara.
“Salam takziah buat keluarga Allahyarham. Kerajaan mengiktiraf jasa dan sumbangan beliau kepada negara terutama semasa menjadi Menteri Kewangan. Al-Fatihah,” katanya pada Rabu.
Mengenang Tun Daim: 'Allahyarham banyak ilmu perniagaan, galak orang Melayu bersama beliau' - Tun Dr Mahathir
Jelasnya, beliau menerima perkhabaran pemergian Allahyarham sebaik tiba di Lima, Peru.
Anwar kini berada di Lima bagi mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak APEC 2024.
Beliau turut dijadual mengadakan pertemuan bersama Presiden Peru, Dina Ercilia Boluarte Zegarra serta berinteraksi dengan komuniti perniagaan Malaysia dan Peru.
Terdahulu, Allahyarham yang berusia 86 tahun menghembuskan nafas terakhir sekitar jam 8.21 pagi tadi di Hospital Assunta di Petaling Jaya.
Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara 1 jam 5 petang ini.
Daim berkhidmat sebagai Menteri Kewangan dua kali, yang pertama dari 1984 hingga 1991 di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan memainkan peranan penting dalam mengurus ekonomi Malaysia dan melaksanakan pelarasan struktur.
Beliau kemudian kembali untuk penggal kedua dari 1999 hingga 2001, sekali lagi di bawah Dr Mahathir untuk menangani isu ekonomi berikutan krisis kewangan Asia ketika itu.
Dilahirkan pada 29 April 1938 di Kedah, Allahyarham pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen selama lima penggal antara 1982 dan 2004.
#Tun Daim Zainuddin #Anwar Ibrahim #Tun Daim meninggal #jasa Daim
;