Mengenang Tun Daim: Jenazah Allahyarham selesai disolatkan lebih 500 jemaah

Hasimi Muhamad
November 13, 2024 17:14 MYT
Jenazah Allahyarham tiba di Masjid Wilayah sekitar jam 3.45 petang selepas upacara penghormatan terakhir di kediamannya di Persiaran Bukit Tunku, di sini. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Jenazah Allahyarham Tun Daim Zainuddin yang meninggal dunia pada pagi tadi selesai disolatkan di Masjid Wilayah, Jalan Duta di sini petang ini.
Solat jenazah itu dipimpin oleh anak saudara Allahyarham yang dikenali sebagai Amir Imran dan disertai lebih 500 jemaah termasuk ahli keluarga, kenalan rapat, pemimpin-pemimpin negara serta orang awam.
Antara yang hadir ialah dua bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakod dan Tan Sri Muhyiddin Yassin; serta jurucakap Kerajaan Perpaduan yang juga Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Hadir sama ialah isteri Allahyarham, Toh Puan Naimah Khalid.
Sebelum itu, jenazah Allahyarham tiba di Masjid Wilayah sekitar jam 3.45 petang selepas upacara penghormatan terakhir di kediamannya di Persiaran Bukit Tunku, di sini.
Jenazah Tun Daim selesai disembahyangkan
Allahyarham Daim akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara 1.
Sementara itu, Fahmi ketika ditemui media memaklumkan telah menyampaikan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham bagi mewakili Kerajaan Malaysia.
“Secara peribadi saya sebagai Ahli Parlimen Lembah Pantai terkenang budi dan jasa Allahyarham yang membantu untuk kempen saya pada 2018.
“Sudah pasti Allahyarham banyak memainkan peranan dan berbakti kepada negara tatkala beliau menjawat jawatan sebagai Menteri Kewangan,” katanya.
Daim yang berusia 86 tahun menghembuskan nafas terakhir sekitar jam 8.30 pagi tadi di Hospital Assunta di Petaling Jaya.
Allahyarham berkhidmat sebagai Menteri Kewangan dua kali, yang pertama dari 1984 hingga 1991 di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir di mana beliau memainkan peranan penting dalam mengurus ekonomi Malaysia dan melaksanakan pelarasan struktur.
Beliau kemudian kembali untuk penggal kedua dari 1999 hingga 2001, sekali lagi di bawah Dr Mahathir, untuk menangani isu ekonomi berikutan krisis kewangan Asia ketika itu.
Dilahirkan pada 29 April 1938 di Kedah, Allahyarham pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen selama lima penggal antara 1982 dan 2004.
#Daim Zainuddin meninggal dunia #Naimah Khalid #Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara 1 #bekas Menteri Kewangan Malaysia
;