Mengenang Tun Daim: Ini susur masa perjalanan pengebumian Allahyarham
Khalis Khadir
November 13, 2024 13:42 MYT
November 13, 2024 13:42 MYT
KUALA LUMPUR: Pemergian bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin hari ini pada usia 86 tahun meninggalkan kesan mendalam terutama kepada orang ramai yang pernah merasai zaman kecemerlangan Allahyarham ketika menjawat jawatan penting Kabinet itu.
Bagi mereka yang ingin memberikan penghormatan terakhir, ini adalah susur masa pengebumian Tun Daim.
Pada jam 11.30 pagi tadi, jenazah dibawa ke kediamannya di Bukit Tunku untuk dimandi dan dikafankan sebelum disolatkan di surau berdekatan rumahnya.
Difahamkan, jenazah akan dibawa ke Masjid Wilayah Jalan Duta, Kuala Lumpur sekitar jam 3.45 petang dan solat jenazah berlangsung kira-kira jam 4.40 petang.
Jenazah kemudiannya akan dibawa ke Tanah Perkuburan Bukit Kiara untuk dikebumi pada jam 5 petang.
Allahyarham meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital swasta di ibu negara sejak dua minggu lalu.
Daim berkhidmat sebagai Menteri Kewangan dua kali, yang pertama dari 1984 hingga 1991 di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan memainkan peranan penting dalam mengurus ekonomi Malaysia dan melaksanakan pelarasan struktur.
Beliau kemudian kembali untuk penggal kedua dari 1999 hingga 2001, sekali lagi di bawah Dr Mahathir untuk menangani isu ekonomi berikutan krisis kewangan Asia ketika itu.
Dilahirkan pada 29 April 1938 di Kedah, Allahyarham pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen selama lima penggal antara 1982 dan 2004.