Mengenang Tun Daim: "Beliau mentor bagi usahawan muda Melayu' - Tun Mahathir

Amirul Aiman
November 13, 2024 13:17 MYT
Allahyarham memainkan peranan besar dalam membimbing anak-anak muda berbakat untuk meneroka dunia perniagaan dan perusahaan.
KUALA LUMPUR: "Allahyarham Tun Daim Zainuddin tokoh ekonomi negara yang rendah diri, bukan sahaja meninggalkan warisan sebagai bekas Menteri Kewangan tetapi juga sebagai mentor bagi generasi usahawan muda Melayu," kata bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Dr Mahathir berkata, di sebalik sikapnya yang tidak suka menonjol, Daim memainkan peranan besar dalam membimbing anak-anak muda berbakat untuk meneroka dunia perniagaan dan perusahaan.
“Itu semua tidak tertulis di mana-mana, tapi dia yang memilih beberapa tokoh anak muda yang pada pendapatnya boleh berjaya dalam bidang perniagaan dan perusahaan.
“Sumbangannya bukan kerana duit tapi kerana bangsa dia, kerana dia ingin lihat bangsanya berjaya... tapi tidak dihargai sepatutnya.
“Saya berasa sedih kerana itu,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Astro AWANI pada Rabu.
Mengenang Tun Daim: 'Allahyarham banyak ilmu perniagaan, galak orang Melayu bersama beliau' - Tun Dr Mahathir
Bekas Menteri Kewangan itu dilaporkan meninggal dunia pagi ini pada usia 86 tahun.
Perkara itu disahkan peguamnya, Datuk Dr Gurdial Singh Nijar kepada media.
Difahamkan Allahyarham meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.
Daim, yang memainkan peranan penting dalam ekonomi Malaysia pada tahun 1980-an dan 1990-an, dikenali sebagai salah seorang arkitek dasar ekonomi yang membantu memulihkan kewangan negara semasa krisis.
Semasa perkhidmatannya, Allahyarham berjaya mengukuhkan ekonomi Malaysia melalui pelbagai dasar dan strategi kewangan yang efektif.
Daim juga aktif dalam sektor swasta dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara walaupun selepas meninggalkan pentadbiran.
#Daim Zainuddin #Mahathir Mohamad #usahawan Melayu #meninggal dunia
;