Mengenang Tun Daim: 'Allahyarham tidak simpan dendam' - Keluarga

Astro Awani
November 18, 2024 14:09 MYT
Allahyarham sebaliknya sentiasa memaafkan dan sanggup memikul beban konflik dengan tenang seiring perwatakannya.
KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin dikenang sebagai seorang negarawan yang tidak menyimpan dendam terhadap mereka yang menolak usahanya.
Dalam satu kenyataan media hari ini, keluarganya berkata, Allahyarham sebaliknya sentiasa memaafkan dan sanggup memikul beban konflik dengan tenang seiring perwatakannya.
Menurut kenyataan itu, Allahyarham menyerahkan segala-galanya kepada sejarah untuk menghakimi dan apabila berdepan situasi sukar, beliau bertawakal kerana menurutnya hanya Allah Maha Mengetahui.
"Allahyarham pulang ke pangkuan pencipta-Nya dengan penuh ketenangan dan kesyukuran. Sesungguhnya, perjalanan hidup anak watan Kedah sehinggalah ke persada dunia diwarnai dengan jasa yang dicurahkan serta semangat untuk berbakti kepada agama, bangsa serta negara tercinta.
"Beliau mengabdikan hidup ke arah matlamat memaju, membangun dan memperkasakan ekonomi Malaysia kerana baginya, kehebatan yang hakiki bukan terletak pada kuasa, tetapi usaha gigih tanpa mengharapkan balasan.
"Apa yang paling utama, prinsip arwah dalam hidup iaitu iman mendalam kepada Allah SWT. Sebutan yang tak pernah tinggal adalah syukur dan di sebalik kejayaan di dunia, beliau yakin ganjaran diterimanya disebabkan keimanan kepada Maha Esa," kata kenyataan itu.
Tun Daim tidak menyimpan dendam - Keluarga
Pada Rabu, Daim, 86, menghembuskan nafas terakhir sekitar jam 8.30 pagi di Hospital Assunta di Petaling Jaya.
Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara 1 dengan dihadiri lebih 500 orang termasuk ahli keluarga, kenalan rapat, pemimpin-pemimpin negara serta orang awam.
Allahyarham berkhidmat sebagai Menteri Kewangan dua kali, yang pertama dari 1984 hingga 1991 di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir di mana beliau memainkan peranan penting dalam mengurus ekonomi Malaysia dan melaksanakan pelarasan struktur.
Beliau kemudian kembali untuk penggal kedua dari 1999 hingga 2001, sekali lagi di bawah Dr Mahathir, untuk menangani isu ekonomi berikutan krisis kewangan Asia ketika itu.
Dilahirkan pada 29 April 1938 di Kedah, Allahyarham pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen selama lima penggal antara 1982 dan 2004.
Nama Allahyarham Tun Daim 'berkemundang' di Gold Coast
Sementara itu, kenyataan keluarga Allahyarham turut menyebut, Daim jarang membahas atau mengungkit jasanya kepada orang lain kerana beliau yakin nilai sebenar kehidupan bukan terletak kepada apa yang dimiliki, tetapi apa yang disumbangkan.
Tambah kenyataan itu, pencapaian Daim sepanjang hidup amat membanggakan kerana di sebalik kehebatan akal dan ketinggian wawasan dimilikinya, beliau seorang yang berjiwa lembut, menjaga pertuturan, tingkah laku, rendah diri, murah hati serta sabar.
"Biarpun Allahyarham tidak lagi berada di samping kita, harapan kami adalah usaha beliau walau sekecil mana pun telah membantu mencapai masa depan lebih cerah untuk rakyat.
"Beliau sentiasa berpesan, kekuatan negara ini terletak kepada kepelbagaian, perpaduan, usaha gigih dan keyakinan yang utuh bahawa kita boleh mencapai kegemilangan bersama.
"Sehingga ke akhir hayat, beliau kekal yakin kepada potensi negara ini untuk menjadikan Malaysia lebih adil, makmur, inklusif dan bersatu," kata kenyataan itu.
Katanya lagi, Daim meletakkan setinggi-tinggi kepercayaan buat anak muda kerana golongan berkenaan merupakan penentu kecemerlangan masa depan dan harapan negara.
"Beliau menyedari cabaran mendatang, namun tetap percaya anak muda boleh mengatasinya. Walaupun jalan menuju Malaysia yang lebih baik penuh ranjau, tetapi percayalah ia berbaloi untuk diharungi," katanya.
Keluarga Daim mengucapkan terima kasih buat ahli keluarga, sahabat handai, kenalan dari seluruh dunia dan rakyat Malaysia yang sudi meluangkan masa bagi memberikan penghormatan terakhir.
"Kami tidak mengenali ramai yang datang berkunjung. Kisah atau pengalaman diceritakan mengenai arwah serta bagaimana beliau memberi kesan kepada kehidupan mereka amat mengharukan dan kami hargainya.
"Terima kasih tidak terhingga kepada doktor, jururawat, kakitangan dan pihak pengurusan Hospital Assunta di atas penjagaan serta keprihatinan yang ditunjukkan selama beberapa tahun sehinggalah detik terakhir Allahyarham," ulas kenyataan itu lagi.
#Tun Daim Zainuddin #tun daim meninggal dunia #jasa tun daim #isteri tun daim #terkini
;