Mengenang Tun Arshad Ayub: Jasa beliau tidak kecil - Anwar Ibrahim
Umavathi Ramayah
Jun 14, 2022 13:25 MYT
Jun 14, 2022 13:25 MYT
KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah kepada kepada keluarga Tun Arshad Ayub, 93, atas pemergian ahli akademik dan pendidik terbilang itu yang meninggal dunia, awal pagi Selasa.
Menyingkap sumbangan beliau, Anwar berkata, jasa Allahyarham tidak kecil terutamanya dalam menggagas antara institusi pendidikan terpenting di negara ini iaitu Institut Teknologi MARA (ITM) yang kini dikenali sebagai Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Katanya, Allahyarham menubuhkan institusi pendidikan sebesar itu adalah bukti komitmen dan ‘conviction’ beliau dalam mengangkat dan membela anak-anak bangsa terutamanya dalam aspek pendidikan dalam usaha dan upaya kita membina sebuah masyarakat yang bertamadun dan berintegriti tinggi.
"Dilaporkan bahawa tokoh pendidikan negara, Tun Arshad Ayub telah pergi dijemput ilahi pada jam 2.06 pagi tadi.
"Semoga roh beliau diberikan tempat yang istimewa oleh Yang Maha Esa," katanya dalam satu perkongsian di Facebooknya di sini, pada Selasa.
Sementara itu, bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menzahirkan rasa dukacita dengan berita pemergian tokoh pendidikan negara itu.
"Allahyarham adalah nama besar yang cukup dikenali dan banyak berjasa dalam bidang pendidikan dan pembangunan ekonomi negara.
Sumbangan Allahyarham dalam merintis penubuhan dan pembangunan Institut Teknologi Mara (kini UiTM) sehingga melahirkan jutaan modal insan berkualiti tidak ada tolok banding sehingga menjadikan Allahyarham antara individu yang berjaya mencapai dan merealisasikan sasaran pendidikan bagi Dasar Ekonomi Baru (DEB).
"Sesungguhnya pemergian Tun Arshad adalah satu kehilangan besar kepada sektor pendidikan dan ekonomi negara," katanya dalam akaun Facebooknya di sini, pada Selasa.
Menurut Muhyiddin beliau secara peribadinya mengenali Allahyarham yang pernah berkhidmat dalam beberapa kementerian sebagai Ketua Setiausaha dan Allahyarham adalah seorang yang amat tegas, komited dan berdedikasi. Api kecintaannya kepada pembangunan pendidikan anak bangsa tidak pernah padam sehingga ke akhir hayatnya.
"Marilah kita sama-sama berdoa agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Saya juga berdoa moga ahli keluarga Allahyarham tabah dan sabar menghadapi saat-saat yang menyedihkan ini. Al-Fatihah," katanya.