Mengenang Tok Nan: Selepas lima tahun, aura Allahyarham masih hangat

Rudi Affendi Khalik
Januari 11, 2022 12:06 MYT
Semoga roh Allahyarham diletakkan dalam kalangan orang-orang beriman. Al-Fatihah. - Gambar fail
HARI ini, genap lima tahun Tok Nan atau Pehin Sri Tan Sri Adenan Satem pergi meninggalkan kita. Pun begitu, aura Tok Nan masih terasa hangat.
Namanya masih disebut manakala lawak jenaka dan keseriusannya masih diingati dan dikenang.
Berbanding dengan mentornya, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang memerintah Sarawak selama 33 tahun, Adenan hanya memerlukan tiga tahun untuk menjadi individu yang disayangi seluruh rakyat Sarawak.
Beliau memasuki Tingkat 22 Wisma Bapa Malaysia pada 1 Mac 2014 hingga ke tarikh kematiannya pada 11 Januari 2017. Beliau menghembuskan nafas terakhir 16 hari sebelum menyambut ulang tahun kelahirannya ke-73.
Tok Nan ada pesonanya tersendiri sebagai Ketua Menteri. Malah beliau pada awalnya menolak untuk berada di kedudukan itu, setelah menyedari kesihatannya sebelum itu tidak mengizinkan. Beliau penghidap jantung yang kronik dan bergantung kepada 'pacemaker'.
Abdul Taib telah menggunakan pelbagai pendekatan untuk memujuk Tok Nan yang terkenal degil. Isterinya, Puan Sri Datuk Amar Jamilah Anu juga gagal mengubah pendiriannya.
Pun begitu segala-galanya berubah atas izin Allah SWT. Hatinya terbuka untuk memegang teraju pentadbiran Sarawak setelah selesai solat hajat di hadapan kaabah.
Di situlah usaha pemujukan di antara dua bekas ipar itu berlangsung. Dari hati ke hati, Abdul Taib berjaya memujuk Adenan untuk menerima pelawaannya.
Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Juanda Jaya mengingati detik itu dengan jelas.
Antara yang mengiringi Abdul Taib ketika menunaikan umrah itu termasuklah Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar.
PERJANJIAN MAKKAH
Inilah pemujukan yang dikenali sebagai 'Perjanjian Makkah' oleh media, yang biarpun rahsia, namun sempat dikorek oleh penulis.
Dari detik itulah, Adenan yang sebelum itu berhadapan detik getir di Pusat Jantung Negara, berubah menjadi orang baharu.
Beliau mahu menggunakan peluang terakhir itu untuk berbakti kepada pertiwi.
Menurut Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Seri Sim Kui Hian yang juga pakar kardiologi, beliau pernah memberi kata dua kepada Tok Nan, ketika diminta memberikan pandangan terhadap status kesihatannya.
Katanya, Tok Nan akan dapat hidup lebih lama jika beliau tidak menerima tanggungjawab sebagai Ketua Menteri.
" Namun jika memilih tugas tersebut, memilih untuk bersama rakyat, tahap kesihatannya pasti akan terjejas dan terganggu.
" Beliau memilih rakyat," jelas Dr Sim ringkas.
Namun, itulah Tok Nan. Tok Nan menggunakan tempoh yang singkat itu untuk membina kepercayaan rakyat terhadap kerajaan.
Beliau menongkah arus yang dicipta mentornya. Mewujudkan Hari Sarawak pada 22 Julai, beliau kemudian mendesak agar Perjanjian Malaysia 1963 disemak semula dan hak Sarawak dikembalikan.
Beliau mendesak pemusatan kuasa oleh Kerajaan Persekutuan dilonggarkan dan hak Sarawak terhadap royalti minyak dan gas dikaji semula.
Ini permulaan untuk Sarawak yang baharu bagi rakyat. Dan Tok Nan benar-benar melaksanakannya dengan jayanya.
Untuk urusan ini, beliau menzahirkan pantunnya yang begitu terkenal: Nyiur gading puncak mahligai; sayang ketupat berisi inti; hancur badan, tulang berkecai; belum dapat belum ku berhenti.
Lebih menarik Tok Nan merempuh ruang yang menjadi 'taboo' sekian lama untuk negeri Sarawak, dengan menyentuh syarikat pembalakan. Beliau memberhentikan pemberian konsesi dan mahu agensi penguatkuasaan hutan bertindak tegas, terhadap insiden balak curi yang berleluasa ketika itu.
Untuk tujuan tersebut, Tok Nan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menahan dan mendakwa pihak yang dipercayai terlibat dalam sindiket ini, yang menyebabkan Sarawak kerugian berbilion ringgit.
Untuk pasukan penguatkuasa hutan, beliau melengkapi mereka dengan senjata api, bagi memastikan tugas pengawasan hutan dapat dilaksanakan lebih sempurna.
Beliau tidak mahu lagi mereka "ada mata... buta, ada telinga ... bengal, ada lidah ... bisu kerana disuap.
Yang pasti tindakan-tindakan ini, serta kesungguhan beliau membantu meringankan beban rakyat, termasuk menghapuskan tol, mengurangkan bayaran feri kepada RM1 serta menjayakan Lebuh Raya Pan Borneo telah mengangkat beliau ke tahap negarawan.
" Saya harap saya tidak sakit dan ada banyak masa," katanya kepada Azmi Bujang, bekas Setiausaha Sulit Kanannya ketika mereka menjamu tengah hari berdua.
Tok Nan sebenarnya tidak perlu ralat, kerana apa jua impiannya kini sedang dan telah dilaksanakan. Ia diteruskan dengan bersungguh, oleh penggantinya Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Malah mandatnya telah dilaksanakan sebaik mungkin biarpun beliau sendiri mentadbirnya hanya sekitar lapan bulan selepas kemenangan. Itu wasiat terakhir beliau kepada Abang Johari dan Datuk Amar Douglas Uggah 24 jam sebelum menutup mata.
Satu lagi ialah menyelesaikan kemelut tanah NCR, Pemakai Menoa Pulau Galau.
Tok Nan makan jagung rebus dengan penuh berselera pada pagi 11 Januari 2017, sebelum kesihatannya merosot selepas Zohor, dan menghembuskan nafas terakhir.
Ironinya, beliau seharusnya bertemu dengan Azmi yang ketika itu Pengarah Yayasan Sarawak, dalam pertemuan yang dijadualkan pada jam 2 petang.
Namun, pertemuan itu tidak menjadi.
Tok Nan yang selalu memejam mata ketika mesyuarat dan taklimat, telah memejamkan matanya untuk selama-lamanya. Al-Fatihah.
Pun begitu, legasinya tidak terpejam sepicing pun. Ia diteruskan isterinya, Jamilah dan kini diwarisi anaknya Azizul -- di kawasan DUN Tanjung Datu.
#mengenang Adenan Satem #Ketua Menteri Sarawak #DUN Tanjung Datu #Abang Johari
;