Mengenang Samy Vellu: Tegas perjuang hak masyarakat India - Tun Musa

Fareez Azman
September 15, 2022 12:06 MYT
Mendiang Tun S Samy Vellu disifatkan Tan Sri Musa Hitam sebagai seorang pemimpin yang sentiasa tegas memperjuangkan hak masyarakat India di negara ini. - Gambar Astro AWANI/ SHAHIR OMAR
KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam menyifatkan pemergian Tun S Sammy Vellu sebagai satu kehilangan besar buat negara terutama masyarakat India.
Menurut Musa, mendiang merupakan antara pemimpin paling lantang bersuara dan memperjuangkan hak kaum India sepanjang bergelar Menteri Kabinet.
Musa secara peribadi amat mengenali mendiang Samy ketika beliau menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kabinet.
"Saya boleh katakan kepada semua rakan-rakan daripada kaum india, jika anda ingin melihat seorang pemimpin yang tidak pernah berhenti untuk memperjuangkan nasib dan hak kaum India, inilah pemimpinnya," kata Musa mengenang kehilangan rakan seperjuangannya itu.
Mengimbas jejak perjalanan karier politik bersama mendiang, jelas Musa, Samy seorang pemimpin yang sangat mementingkan pembangunan pendidikan dan serta aspek-aspek lain yang melibatkan masyarakat India.
Bahkan, Musa mendedahkan sering bertegang urat dengan mendiang Samy apabila membincangkan sesuatu demi kebaikan semua pihak.
"Waktu saya Menteri Pelajaran, tiap-tiap tahun kita bertengkar. Samy Vellu akan keluar dia punya senarai berapa peratus boleh kita terima pelajar India.
"Dia (Samy Vellu) sedar atas keadaan masyarakat Indina, kadangkala dalam Mesyuarat Kabinet, beliau menjerit jika berkaitan dengan hal ehwal masyarakat India, bukan hanya pendidikan, apa sahaja kena mengena dengan masyarakat India," cerita Musa lagi.
Masih terbayang di ruang fikiran Musa mengenai ketegasan Samy yang pernah beberapa kali ‘menjerit’ ketika mengemukakan cadangan di Mesyuarat Kabinet sehingga menyebebabkan beliau dan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad menenangkan mendiang.
"Saya dan Tun Dr Mahathir selalu apabila Samy naikkan suara, kami akan kata kepadanya agar dia lihat urat dan matanya yang tegang, jadi kami akan minta dia bertenang.
"Ya, Samy Vellu seorang pemimpin yang kita tahu keberadaannya dan tanggungjawabnya. Setiap hujahnya sangat tegas mengenai masyarakat India. Kita akan merindunyai, seorang pemimpin yang tiada galang gantinya," kata Musa lagi.
Mendiang Samy menghembuskan nafas terakhir pada usia 86 tahun di kediamannya di Jalan Ipoh, di sini, sekitar pukul 8 pagi ini.
Perkara itu disahkan oleh Naib Presiden MIC, Datuk T Mohan ketika dihubungi Astro AWANI yang memaklumkan Samy meninggal dunia dalam tidur.
Sementara itu, bekas setiausaha akhbar mendiang, Datuk E Sivabalan berkata, upacara pembakaran mayat Samy akan berlangsung pada pukul 4 petang esok (Jumaat) di di Krematorium DBKL, Jalan Kuari, Cheras.
Orang ramai yang ingin memberi penghormatan terakhir kepada bekas Presiden MIC itu boleh berkunjung ke kediaman mendiang di rumahnya di No. 19, Lengkongan Vethavanam, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, bermula pukul 2 petang ini.
#Musa Hitam #bekas Presiden MIC #Samy Vellu meninggal dunia #masyarakat India
;