Mengenang Samy Vellu: PM India Narenda Modi zahir rasa sedih, ucap takziah
Firdaus Azil
September 15, 2022 16:04 MYT
September 15, 2022 16:04 MYT
KUALA LUMPUR: Pemergian bekas Menteri Kerja Raya Tun S Samy Vellu bukan sahaja dirasai segenap lapisan masyarakat di negara ini, khususnya kaum India, bahkan ia juga mendapat perhatian daripada Perdana Menteri India, Narendra Modi.
Terbaharu dalam laman media sosialnya, Modi berkata, beliau secara peribadi berasa sedih dengan bekas Presiden MIC itu.
Katanya lagi, Samy Vellu merupakan penerima Pravasi Bharatiya Samman yang pertama di Malaysia, iaitu anugerah kerajaan India yang tertinggi untuk tokoh berbangsa India di luar negara itu.
Modi dalam catatannya turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Samy Vellu.
Terdahulu Astro AWANI melaporkan, tokoh politik tanah air itu meninggal dunia pada usia 86 tahun di kediamannya di Jalan Ipoh, di sini, kira-kira jam 8 pagi ini.
Perkara itu disahkan oleh Naib Presiden MIC Datuk T Mohan ketika dihubungi Astro AWANI pagi tadi.
Difahamkan, mendiang meninggal dunia ketika dalam tidur.