Mengenang Prof Ungku Aziz: Kaji sumbangan dalam membina monumen minda masyarakat - Johan Jaaffar

Rahimah Abdullah
Disember 16, 2020 10:29 MYT
JOHAN: Kalau kita dapat mengkaji dan memberikan tumpuan kepada sumbangan yang telah diberikan oleh Pak Ungku, saya fikir itu adalah sumbangan yang paling besar dapat kita lakukan kepada negara. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Malaysia perlu mengkaji sumbangan besar yang diberikan Allahyarham Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid kepada negara dan masyarakat.
Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar pada masa sama berkata, pemikiran Tokoh Akademik dan Ekonomi itu perlu diajar di institusi pengajian tinggi.
"Saya percaya beliau sebelum ini telah menelaah atau mengkaji beliau telah menelaah haiku jepun dan sebagainya, untuk mencerminkan pemikiran orang Jepun sebab itu beliau menggunakan Kebijaksanaan Akal Budi Melayu, The Genius of the Malay Mind.
"Jadi ini adalah kekuatan yang ada pada Pak Ungku," katanya kepada Astro AWANI melalui Skype pada Rabu.
BACA: Prof Diraja Ungku Abdul Aziz meninggal dunia
Malah, katanya, pada ketika ini, apa yang lebih penting ialah pembinaan monumen minda dalam kalangan masyarakat seperti yang pernah ditekankan Prof Ungku Aziz.
"Jadi saya kira apa yang lebih penting ialah kita perlu bina monumen minda. Perkataan minda itu dipopularkan oleh Pak Ungku.
"Jadi kalau kita dapat mengkaji dan memberikan tumpuan kepada sumbangan yang telah diberikan oleh Pak Ungku, saya fikir itu adalah sumbangan yang paling besar dapat kita lakukan kepada negara," katanya lagi.
Ujarnya, generasi muda hari ini harus memahami bahawa Prof Ungku Aziz adalah seorang ikon yang tiada galang ganti dalam masyarakat.
Pada masa sama, beliau mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan mendoakan beliau ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman.
#Pak Ungku #monumen minda #Johan Jaaffar #Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid #Kebijaksanaan Akal Budi Melayu #The Genius of the Malay Mind
;