Mengenang Masing: Saya kehilangan kawan dan mentor dalam politik - Nanta

Munirah Mudzamli
November 1, 2021 16:52 MYT
Selain itu, sifat rendah diri, kaliber dan dedikasi yang tinggi mendiang Masing telah banyak membantu membangunkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Baleh, Kapit sejak era kepimpinannya bermula 1983. - Foto Astro AWANI
KUCHING: ‘’Saya secara peribadi kehilangan seorang kawan dan juga mentor dalam politik.’’
Itu luahan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, ketika ditemui media selepas memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang Tan Sri James Jemut Masing di sini hari ini.
Tambahnya, pemergian mendiang Masing sangat dirasai rakyat negeri Sarawak kerana jasa dan khidmat baktinya khusus kepada pembangunan masyarakat Dayak di sana.
Selain itu, sifat rendah diri, kaliber dan dedikasi yang tinggi itu telah banyak membantu membangunkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Baleh, Kapit sejak era kepimpinannya bermula 1983.
BACA: [LAPOR LANGSUNG] Mengenang James Jemut Masing: Pemimpin Dayak berkaliber
BACA: Taib Mahmud, Raghad beri penghormatan terakhir kepada Masing
BACA: Taib Mahmud kenang detik 'lamar' mendiang Masing, gembira dapat berkhidmat bersama
“Sarawak kehilangan tokoh yang amat bermakna kepada perjuangan kita dan juga rakyat khususnya mereka (rakyat) di luar bandar dan kaum Dayak, sebab mendiang memang dikenali semua sebagai tokoh kaum Dayak.
‘’Apabila diberi peluang menyertai Kabinet Sarawak dan menyandang jawatan Timbalan Ketua Menteri, mendiang terus komited memperjuangkan hak Sarawak dan membantu memajukan penduduk luar bandar khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Baleh.
“Di bawah kepimpinannya, Kapit sudah jauh berubah daripada masa dahulu,” katanya.
Selain itu, Ahli Parlimen Kapit itu berkata, kehilangan mendiang Masing sangat dirasainya kerana mereka bukan sekadar berkawan malah mempunyai hubungan persaudaraan.
“Dari segi perhubungan (kekeluargaan) juga kami ni bukanlah orang asing, memang ada kaitan sebab itu keluarga saya amat berasa kehilangan seorang yang begitu penting dalam kehidupan,’’ tambahnya.
Belasungkawa | Mendiang seorang yang ikhlas & disegani - TYT Sarawak
BACA: James Jemut Masing meninggal dunia
Masing, 72, meninggal dunia di Pusat Perubatan Normah, Petra Jaya, pada jam 7.05 pagi Ahad.
Mendiang yang juga Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) dimasukkan ke wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Umum Sarawak (HUS) pada 28 September lalu akibat komplikasi selepas disahkan positif COVID-19.
Selepas kesihatannya semakin merosot, mendiang dipindahkan ke Pusat Perubatan Pakar Normah, minggu lalu.
Belasungkawa | Penghormatan akhir Tan Sri Jemut Masing
#James Jemut Masing dalam kenangan #Timbalan Ketua Menteri Sarawak #Alexander Nanta Linggi #ADUN Baleh
;