Mengenang Khalid Ibrahim: Sidang DUN Selangor ditangguh 2.30 petang - MB

Fareez Azman
Ogos 1, 2022 14:06 MYT
Kerajaan negeri Selangor mengucapkan takziah ke atas keluarga Allahyarham di atas pemergian Abdul Khalid yang disifatkan sebagai kehilangan besar buat negeri itu, kata Amirudin Shari. - Gambar Astro AWANI
SHAH ALAM : Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor ditangguhkan sehingga pukul 2.30 petang bagi menghormati pemergian Allahyarham Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri Selangor mengucapkan takziah ke atas keluarga Allahyarham di atas pemergian Abdul Khalid yang disifatkan sebagai kehilangan besar buat negeri itu.
"Sebagai menghargai sumbangan beliau beberapa penggal di Dewan Negeri di Selangor selaku Menteri Besar Selangor, sidang dewan harini ditangguhkan sementara sehingga jam 2.30 sehingga selesai majlis pengebumian selepas dilaksanakan.
"Bagi pihak kerajaan negeri Selangor dan seluruh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor ingin menzahirkan ucapan takziah atas kehilangan Allahyarham Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim," kata Amirudin kepada wartawan ketika ditemui di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, hari ini.
Tambah Amirudin, sumbangan Allahyarham Abdul Khalid kepada negeri Selangor amat besar terutama dalam pembangunan ekonomi rakyat.
Amirudin secara peribadi menimba pengalaman yang tidak akan dilupakan ketika bertugas di bawah kepimpinan Allahyarham Abdul Khalid.
"Tindakan dan arahan beliau menjadi pedoman dan pengalaman berharga termasuk dengan saya selaku pegawai bertugas secara langsung atau ADUN yang perlu melapor secara langsung kepada beliau mengenai aktiviti belia dan sukan," jelasnya lagi.
Menteri Besar Selangor itu hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham Abdul Khalid bersama pimpinan tertinggi negeri.
Sementara itu, ADUN Kota Anggerik, Najwan Halimi juga menyifatkan pemergian Allahyarham Abdul Khalid sebagai kehilangan buat negara.
Menurut Najwan, sepanjang lebih enam tahun menerajui Selangor sebagai Menteri Besar, Allahyarham Abdul Khalid telah melakukan pelbagai reformasi institusi selain mencatat rizab tertinggi bagi
negeri Selangor itu.
"Ia menjadi legasi kepada pentadbiran terkini, banyak program beliau perkenalkan (dan) paling dikenali ialah Dasar Merakyatkan Ekonomi Selangor.
“(Tidak ketinggalan) pengenalan program air percuma, program Tawas di mana anak Selangor yang baru lahir mendapat caruman. Ini beri kesinambungan baik kepada pentadbiran terkini. Saya secara peribadi sangat sedih akan kehilangan Allahyarham yang juga pemimpin," tambah Najwan lagi.
Jenazah Allahyarham Abdul Khalid disembahyangkan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz sekitar pukul 1.30 tengah hari dan akan dikebumikan di Makam Diraja Shah Alam pukul 2 petang ini.
#Abdul Khalid Ibrahim #khalid ibrahim meninggal dunia #Menteri Besar Selangor #Amirudin Shari
;