Mengenang Joseph Kurup: Jasa mendiang pasti dikenang negara, rakyat - PM Anwar
Astro Awani
April 17, 2024 22:24 MYT
April 17, 2024 22:24 MYT
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan jasa mendiang Tan Sri Joseph Kurup ketika menjadi menteri di peringkat Persekutuan dan negeri, akan dikenang rakyat dan negara.
Perdana Menteri dalam kemas kini di laman Facebook, juga menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mendiang atas pemergian Kurup.
Dalam masa sama, beliau mendoakan agar Datuk Arthur Joseph Kurup dan keluarga,tabah dan kuat dalam menghadapi perkhabaran duka berkenaan.
"Takziah saya utuskan kepada keluarga mendiang," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, mendiang merupakan seorang teman yang sentiasa bersemangat mendukung obor perjuangan parti tatkala susah dan senang.
"Pemergian beliau pastinya meninggalkan seribu satu kenangan buat saya dan rakan-rakan seperjuangan.
"Bagi pihak Barisan Nasional, saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi takziah kepada Arthur dan keluarga dalam menghadapi ujian ini.
"Semoga segala kenangan dan kasih sayang yang dikongsi bersama sahabat baik saya, Tan Sri Datuk Seri Panglima Joseph Kurup, menjadi kekuatan keluarga dalam detik duka ini. Saya berharap agar semangatnya terus hidup dalam hati kita," ujar beliau.
Kurup menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) di ibu negara kira-kira jam 7.30 malam pada usia 80 tahun.
Pemergian ahli politik veteran itu disahkan oleh Ketua Penerangan PBRS, Datuk Fredie Sua kepada Astro AWANI, malam ini.
Pada Januari tahun lalu, Kurup mengumumkan persaraan dari arena politik dan melepaskan jawatan sebagai Presiden PBRS berkuat kuasa serta-merta.