Mengenang James Jemut Masing: 'Saya tidak akan lupa jasa mendiang di Kapit' - Nanta

Bernama
November 3, 2021 14:25 MYT
Itulah yang mungkin boleh digambarkan mengenai situasi Ahli Parlimen Kapit Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, yang masih tidak dapat menahan kesedihan ketika diajukan soalan berkaitan Timbalan KM Sarawak Tan Sri James Jemut Masing. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Bukan mudah untuk menerima hakikat pemergian mengejut sahabat baik, apatah lagi jika individu itu merupakan mentor dan rakan politik yang banyak berjasa sama-sama membangunkan sesebuah kawasan Parlimen.
Itulah yang mungkin boleh digambarkan mengenai situasi Ahli Parlimen Kapit Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, yang masih tidak dapat menahan kesedihan ketika diajukan soalan berkaitan Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri James Jemut Masing, yang meninggal dunia Ahad lepas.
"Saya tidak akan lupa jasa baik mendiang lebih-lebih di Kapit, beliau pun Timbalan Ketua Menteri Sarawak dan mewakili kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Baleh. Kita akan bersungguh-sungguh memastikan projek dirancang (di Kapit) jadi nyata dan dapat kita realisasikan," katanya dalam temu bual dengan Bernama.
Masing, 72, yang merupakan ADUN Baleh sejak 1983, meninggal dunia di Pusat Perubatan Normah Sarawak (NSMC) di Petra Jaya, Kuching pada 7.05 pagi. Hari ini berlangsung upacara penghormatan terakhir ke atas mendiang, sebelum dikebumikan di Nirvana Memorial Park Kuching.
Menerusi gandingan mereka di bawah Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA), iaitu mendiang sebagai pengerusi dan beliau sebagai timbalannya, Nanta berkata hal-hal berkaitan pembangunan Kapit sering menjadi topik utama perbincangan, selain sesi libat urus yang kerap diadakan.
LAPOR LANGSUNG: PENGHORMATAN TERAKHIR BUAT JAMES JEMUT MASING
Nanta, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, berkata pembinaan Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOL) di Bukit Mabong misalnya, adalah cetusan idea mendiang yang antara lain bertujuan membantu mengeluarkan hasil pertanian di kawasan pedalaman menerusi pengangkutan udara.
Pemergian Masing | Ketua Menteri Sarawak beri penghormatan terakhir
Pemergian Masing, yang merupakan tokoh utama pemimpin kaum Dayak, mengingatkan Nanta tentang bagaimana dirinya tidak pernah dilupakan dalam perancangan pembangunan infrastruktur atau sosial oleh mendiang, misalnya ketika turut dijemput mengikuti rombongan rasmi ke New Zealand pada 2015 bagi memahami hal berkaitan orang asli (Orang Maori) di negara itu.
"Mendiang kata kita perlu ambil tahu dan belajar bagaimana Maori boleh dapat balik apa hak mereka, jadi mendiang kata kita Dayak ini boleh belajar bagaimana kita perjuangkan dan apa hak kita," katanya.
AWANI Ringkas: Penghormatan akhir kepada mendiang Tan Sri James Jemut Masing
Begitu juga pada 2019 apabila Masing mengajak beliau melihat pembangunan sekitar Tasik Komo, Itali, yang boleh dijadikan ilham memandangkan Sarawak memiliki Empangan Bakun, yang terletak di lembangan atas Sungai Rajang merentasi Sungai Balui, 37 kilometer dari pekan Belaga.
Nanta berkata mendiang merupakan pemimpin yang lantang menyuarakan sesuatu, lebih-lebih lagi bagi menjaga hak dan kepentingan kaum Dayak ataupun memperjuangkan hal berkaitan luar bandar termasuk aspek pendidikan.
"Mendiang pun datang dari luar bandar, sebab itu mendiang kata biarlah kita membantu agar anak muda kita diberi peluang, ini saya takkan lupa," katanya.
Ciri kepimpinan yang ada pada mendiang yang disenangi rakyat, tidak sombong, sangat mengambil perhatian kebajikan rakyat, selain perjalanan karier politiknya selama ini, kata Nanta boleh dijadikan iktibar kepada pemimpin lain.
-- BERNAMA
#Alexander Nanta Linggi #Mengenang James Jemut Masing #kaum Dayak #ADUN Baleh
;