Mengenang guru, menghayati Ramadan dan menikmati ketupat sotong
Dr Azlinariah Abdullah
Jun 7, 2016 23:45 MYT
Jun 7, 2016 23:45 MYT
Ada sesuatu yang sangat istimewa bagi seorang guru sekolah menengah di Tanah Merah, Kelantan, Norzaihana Che Mat setiap kali Ramadan tiba.
Selain menyambutnya dengan penuh ketakwaan sebagaimana individu lain, bulan Ramadan mengembalikan ingatannya kepada beberapa perkara - mereka yang berhati wangi yang telah pergi, ibadah istimewa dan hidangan kegemaran.
Dan kenangan itu, tentunya berkisar bersama guru bahasa Inggeris semasa darjah lima, Sir Mustapha Zakaria.
Memori itu - bahawa Sir Mustapha, berhati wangi, jirannya yang zuhud dan sangat menggemari ketupat sotong, datang silih berganti setiap kali bulan puasa menjelma.
Kenangan itu lebih menggamit apabila kini, selepas lebih 10 tahun guru itu kembali ke kampung akhirat, keluarga, anak-anak dan rakan-rakannya turut sama menyukai ketupat sotong.
"Ketupat sotong ini, saya gemar, anak-anak suka. Suami lebih-lebih lagi, sebab asal orang Kelantan. Begitu juga rakan-rakan sama ada sekolah rendah, menengah atau di maktab perguruan, semuanya gemar ketupat sotong ini.
"Tetapi, jujurnya memori bersama Sir Mustapha yang sangat obses kepada ketupat sotong, paling saya ingati,'' katanya ketika ditemui di rumahnya di Machang, Kelantan baru-baru ini.
Beliau turut mendedahkan rahsia bahawa Allahyarham akan membeli ketupat sotong hampir setiap hari ketika bulan Ramadan.
Menurut Norzaihana, sepanjang Ramadan beliau tidak menghidangkan ketupat sotong setiap hari kepada anak-anak dan suaminya, tetapi memadai jika menikmatinya sekali seminggu.
Bagaimanapun katanya, setiap kali menghidangkan ketupat sotong kepada anak dan suaminya atau rakan-rakannya, setiap kali itulah kenangan bersama gurunya kembali segar.
Kerana itu, beliau tidak menjualnya di kedai atau bazar Ramadan, sebaliknya akan menghidangkannya jika ada permintaan khas.
Ketupat sotong lazimnya dihidangkan semasa berbuka atau dijadikan juadah selepas solat Tarawih.
Tidak sukar untuk membuat ketupat sotong memandangkan bahan-bahannya tidak banyak selain mudah didapati.
"Yang penting, semestinya perlu ada sotong, pulut dan santan. Bahan-bahan lain seperti serai, daun pandan dan gula melaka digunakan untuk menambah rasa, warna dan membangkitkan aromanya,'' kata ibu kepada tiga orang anak berusia di antara 6 hingga 10 tahun ini.
Di bazar Ramadan, tiga hingga empat ketul ketupat sotong dijual dengan harga RM10 bergantung kepada saiznya.