Mengenang 13 Mei: Kembalikan sekolah aliran Inggeris, kata Noor Azimah

Teoh El Sen
Mei 13, 2014 23:16 MYT
Kembalikan sekolah aliran Inggeris, kata Noor Azimah.
Masanya sudah sampai untuk rakyat negara ini menumpukan perhatian untuk jadi orang Malaysia dan satu cara untuk merapatkan hubungan dan pemahaman antara kaum itu ialah melalui bahasa yang sama.
Itu pandangan aktivis pendidikan, Datin Noor Azimah Abdul Rahim yang berpendapat bahawa sebuah "bahasa yang neutral" seperti Bahasa Inggeris adalah lebih berkesan berbanding penekanan kepada Bahasa Melayu.
"Pada masa lalu, sekolah pengantar Bahasa Inggeris menyatupadukan kaum. Tidak ada persoalan tentang terasing kerana semua orang pergi ke sekolah yang sama. Sejak ia dimansuhkan, setiap kaum pergi ke sekolah kaum masing-masing," kata Noor Azimah.
Beliau menjelaskan itulah sebabnya kenapa pertubuhan yang beliau terajui, Parent Action Group for Education (PAGE) mendukung lebih banyak mata pelajaran di sekolah diajar dalam Bahasa Inggeris.
Sejak beberapa tahun lalu, PAGE lantang mendesak kerajaan memperkenalkan semula pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris selepas dasar itu dimansuhkan pada 2011.
"Saya yakin itulah penyelesaiannya (menggunakan Bahasa Inggeris) selain ia dapat meningkatkan kualiti pendidikan kita. Sekiranya kita dapat menguasai dua perkara itu, ia akan lebih baik untuk negara ini," katanya.
Noor Azimah mengulas pertanyaan yang dikemukakan oleh Astro AWANI tentang bagaimana generasi muda negara ini harus mengenang semula peristiwa 13 Mei 1969.
Susulan rusuhan kaum berdarah itu, kerajaan memperkenalkan beberapa dasar termasuk tindakan afirmatif seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan penekanan kepada penggunaan Bahasa Melayu dalam sistem pendidikan.
BERITA PENUH DI SINI
#13 Mei 1969 #agama #bahasa #Inggeris #Noor Azimah Abdul Rahim #PAGE #pendidikan #PPSMI
;