Mengenali penyakit skizofrenia: Apabila halusinasi dan delusi menjejaskan kewarasan
Dr Firdaus Abdul Gani
Mac 19, 2021 11:39 MYT
Mac 19, 2021 11:39 MYT
SKIZOFRENIA adalah sejenis penyakit mental yang serius di mana ianya menganggu kewarasan seseorang individu.
Penyakit mental jenis ini adalah kronik dan boleh berulang. Walaupun kadar berlakunya penyakit skizofrenia tidak setinggi kadar penyakit kemurungan atau penyakit mental utama yang lain, tetapi ianya boleh menjadi penyakit yang paling menjejaskan fungsi hidup sesorang individu, terutamanya jika tidak dirawat pada peringkat awal.
Ia mempengaruhi pemikiran, perasaan serta tingkah laku seseorang. Adakalanya mereka kelihatan seperti berada dalam dunia mereka yang tersendiri serta tidak berpijak ke alam realiti.
Ini kerana mereka mengalami kesukaran untuk menilai sama ada gangguan yang dialami adalah benar atau tidak. Bagaimanapun, penyakit ini boleh dirawat dan pesakit boleh sembuh dengan rawatan yang betul dan berterusan.
Epidemiologi
Secara global, kira-kira satu peratus dari populasi didiagnosakan mengalami skizofrenia.
Pada tahun 2017, Kajian Global Burden of Disease menganggarkan terdapat 1.1 juta kes baru manakala Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun 2019 melaporkan bahawa terdapat 20 juta kes skizofrenia di seluruh dunia.
Kajian epidemiologi melaporkan bahawa peluang bagi seseorang untuk menghidapi penyakit ini sepanjang tempoh kehidupannya adalah sebanyak 0.3 sehingga 0.7 peratus. Kebanyakan pesakit didiagnosakan pada peringkat usia lewat remaja sehingga awal 30-an.
Lelaki biasanya mempunyai penyakit ini lebih awal berbanding wanita. Ianya sangat jarang berlaku dalam kalangan kanak-kanak atau warga emas.
Gejala
Pesakit skizofrenia boleh mengalami gejala positif, gejala negatif, tingkah laku dan pemikiran yang tidak teratur (disorganized) serta kognitif.
Gejala positif bukanlah bermaksud gejala yang baik. Ia merujuk kepada gejala psikosis yang dialami oleh pesakit.
Antara gejala positif yang sering dilihat adalah halusinasi dan delusi. Pesakit biasanya mengalami halusinasi jenis auditori seperti mendengar bisikan atau suara ghaib yang bercakap dengannya atau sesama sendiri.
Ada juga yang mengalami gangguan suara yang memberi komentar tentang setiap gerak geri yang dilakukan atau menyuruh individu tersebut melakukan sesuatu.
Halusinasi secara visual, sentuhan serta bauan juga boleh berlaku tetapi ianya tidak sekerap berlakunya halusinasi auditori.
Delusi pula adalah kepercayaan karut yang tidak dapat disanggah oleh sesiapapun malah mereka percaya sepenuhnya bahawa apa yang difikirkan itu benar berlaku.
Terdapat banyak jenis delusi dan ada pesakit yang mengalami lebih daripada satu jenis delusi.
Antara delusi yang sering ditemukan adalah delusi jenis 'paranoid' iaitu pesakit percaya bahawa ada orang yang berniat jahat kepada mereka. Ada juga yang mempercayai bahawa mereka adalah orang tertentu atau ahli keluarga mereka telah ditukar kepada individu lain.
Terdapat juga keabnormalan pada fikiran iaitu mereka percaya bahawa ada yang boleh membaca atau mengawal fikiran mereka manakala ada juga yang merasakan bahawa pergerakan mereka sebenarnya dikawal oleh sesuatu.
Selain daripada itu, mereka yang menghidap skizofrenia juga ada yang mengalami gejala negatif (negative symptoms) seperti tidak bersemangat, mengasingkan diri dan hilang minat untuk melakukan sebarang kerja.
Gejala tingkah laku dan pemikiran yang tidak teratur pula mungkin diperlihatkan menerusi pesakit menunjukkan sifat keanak-anakan, reaksi yang tidak sepadan dengan situasi yang dialami serta percakapan yang tidak dapat difahami.
Antara gejala kognitif yang dialami oleh pesakit skizofrenia adalah sukar menumpukan perhatian serta menjalankan fungsi eksekutif seperti mengatur aktiviti serta merancang.
Diagnosis
Diagnosis skizofrenia dibuat apabila tempoh gejala seperti halusinasi, delusi serta keabnormalan pemikiran berlangsung lebih dari enam bulan.
Adalah penting untuk memastikan bahawa gejala tersebut bukan disebabkan oleh dadah atau penyakit fizikal yang lain secara langsung.
Selain dari itu, ia perlu memenuhi kriteria di mana fungsi hidup individu tersebut turut terjejas akibat penyakit, sama ada dari segi sosial atau pekerjaan.
Diagnosis tersebut adalah berpandukan kriteria yang ditetapkan oleh Diagnostic Statistical Manual 5th edition (DSM-V) oleh American Psychiatric Association (APA).
Ia melibatkan penilaian secara temu bual antara pegawai perubatan atau pakar psikiatri dengan pesakit dan ahli keluarga pesakit.
Biasanya, ahli keluarga turut ditemu bual bagi mendapatkan gambaran yang lebih jelas mengenai gejala serta kesan gejala tersebut terhadap individu.
Pemeriksaan fizikal serta ujian darah tertentu juga turut dijalankan bagi memastikan bahawa gejala tersebut bukanlah disebabkan oleh penyakit fizikal.
Adakalanya ujian saringan dadah juga dilakukan melalui pengambilan sampel air kencing bagi memastikan bahawa gejala tersebut bukanlah disebabkan oleh dadah.
Punca penyakit dan faktor risiko
Secara umumnya, skizofrenia berpunca daripada ketidakseimbangan bahan kimia (neurotransmitter) dalam otak terutamanya Dopamine.
Paras Dopamine yang tinggi dalam otak menimbulkan gejala psikosis pada pesakit. Selain daripada itu terdapat juga keabnormalan pada paras serotonin dan glutamate.
Terdapat pelbagai faktor risiko untuk mendapat penyakit ini termasuklah:
1) Faktor genetik atau sejarah keluarga.
2) Komplikasi ketika lahir atau dalam ketika dalam kandungan.
3) Tekanan hidup.
4) Sejarah trauma ketika kanak-kanak.
5) Taraf sosio ekonomi yang rendah.
6) Pengambilan dadah.
Rawatan
Penyakit ini boleh dirawat dan rawatan yang diberi untuk skizofrenia adalah ubatan antipsikotik bertujuan untuk menstabilkan semula paras bahan kimia dalam otak.
Terdapat pelbagai jenis ubat yang ada termasuklah jenis oral atau pun suntikan. Namun bagi pesakit yang sukar mengambil ubat secara teratur dan kurang sokongan keluarga, rawatan suntikan akan disyorkan oleh pakar psikiatri yang merawat bagi memastikan rawatan secara berterusan dapat diberikan.
Suntikan ini diberikan setiap dua minggu atau sebulan sekali bergantung kepada keperluan pesakit. Adalah penting untuk ubatan diambil secara berterusan kerana penyakit ini adalah kronik dan boleh berulang.
Terdapat pelbagai pilihan ubatan dan ubatan terkini mempunyai kurang kesan sampingan berbanding ubatan yang terdahulu.
Selain ubatan, pesakit juga akan diberikan kaunseling serta rehabilatasi. Rehabilatasi yang disyorkan akan bergantung kepada individu antaranya ialah kemahiran sosial, domestik serta aktiviti harian bertujuan membantu pesakit kembali menjalankan tugas serta fungsi harian seperti biasa.
Terdapat juga Program Sokongan Pekerjaan yang ditawarkan di beberapa Pusat Kesihatan Mental Masyarakat (PKMM) atau MENTARI yang membantu pesakit mental untuk mendapatkan pekerjaan di pasaran terbuka.
Adakah pesakit skizofrenia berbahahaya?
Terdapat kepercayaan bahawa mereka yang menghidap skizofrenia dan penyakit mental yang lain sebagai berbahaya dan bersifat ganas.
Ini adalah tidak tepat. Kebanyakkan pesakit mental seperti skizofrenia tidak bersifat ganas berbanding mereka yang tidak berpenyakit.
Secara lazimnya, mereka lebih gemar mengasingkan diri serta dibiarkan bersendirian.
Hanya sebilangan kecil yang berisiko dan ia biasanya disebabkan oleh gejala psikosis yang dialami apabila mereka tidak mendapatkan rawatan atau rawatan yang diberikan tidak optimum.Pengambilan dadah dan alkohol juga boleh meningkatkan risiko.
Bagaimana kita dapat membantu jika ada ahli keluarga atau rakan mengalami penyakit ini?
1) Bantu mereka untuk dapatkan rawatan awal.
2) Beri sokongan moral pada mereka.
3) Nasihatkan untuk patuh kepada pengambilan ubatan. Anda juga boleh bantu memantau pengambilan ubat supaya ianya diambil secara teratur.
4) Usah memperkecilkan atau mempermainkan gejala yang dialami pesakit. Perlu diingatkan bahawa gejala halusinasi serta delusi adalah benar bagi mereka.
5) Kenal pasti tanda-tanda awal gejala penyakit berulang supaya intervensi awal dapat dilakukan .
Kesimpulannya, penyakit skizofrenia boleh dirawat serta rawatan awal akan membantu proses penyembuhan dengan lebih cepat serta meminimumkan penjejasan fungsi hidup.
* Penulis adalah Ahli Jawatankuasa Persatuan Psikiatri Malaysia.
** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
#WHO
#mental
#skizofrenia
#disorganized
#psikosis
#delusi
#paranoid
#negative symptoms
#diagnosis
#halusinasi
#Dadah