"Mengapa tiada bekalan air di lapangan terbang?" - Kerajaan Sabah siasat insiden di KKIA
Bernama
Mei 13, 2023 15:10 MYT
Mei 13, 2023 15:10 MYT
PUTATAN: Pelan kontigensi perlu dibuat serta dilaksanakan dengan baik bagi mengelakkan isu gangguan bekalan air di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) berulang pada masa akan datang, kata Timbalan Ketua Menteri III Datuk Shahelmey Yahya.
Menteri Kerja Raya Sabah itu berkata bekalan air di KKIA mula pulih sekitar 2 petang semalam, bagaimanapun katanya ia dilihat tidak wajar berlaku kerana gangguan itu disebabkan kerja penyelenggaraan berjadual tangki air yang sedang dicuci.
"Kami sedang menyiasat mengapa (tiada bekalan air) kerana kerja dijalankan itu adalah penyelenggaraan berjadual, sepatutnya sebelum mula semua (kerja penyelenggaraan berjadual) pelan kontigensi telah diambil tetapi mengapa hingga tiada bekalan air di lapangan terbang. Kita tunggu laporan.
"Langkah pencegahan akan dilakukan bagi mengelak perkara ini berulang ketika kerja penyelenggaraan pada masa akan datang," katanya ketika ditemui pemberita di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Shahelmey di Dewan Sri Putatan di sini hari ini.
Semalam, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dalam kenyataan memberitahu semua penerbangan diminta untuk mengisi bekalan air pesawat di tempat asal sebelum berlepas ke KKIA susulan gangguan bekalan air di lapangan terbang itu, dan berita itu tular di media sosial menimbulkan rasa kurang senang terutama pengembara menggunakan KKIA.
Sementara itu, Shahelmey berkata beliau masih tidak berpuas hati dengan sistem agihan bekalan air yang dikendalikan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), justeru langkah tuntas perlu dilaksana bagi mengatasi perkara tersebut.
"Saya sendiri telah minta penubuhan suatu jawatankuasa yang khusus bagi kita menambah baik agihan bekalan air antaranya di kawasan Pantai Barat Sabah ini," katanya.
-- BERNAMA