"Mengapa tanya, saya tidak boleh kerja?" - Exco Perak bertugas seperti biasa

Aida Aziz
Julai 12, 2019 11:42 MYT
Yong yang merupakan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru, tiba di pejabatnya di bangunan Perak Darul Ridzuan pada jam 9.16 pagi tadi. - Foto Astro AWANI
Exco Kerajaan Negeri Perak, Paul Yong Choo Kiong yang dikaitkan dengan dakwaan rogol yang dibuat pembantu rumahnya, meneruskan tugasnya seperti biasa hari ini.


Yong yang merupakan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru, tiba di pejabatnya di bangunan Perak Darul Ridzuan pada jam 9.16 pagi turut menjelaskan kepada media bahawa dia akan tetap meneruskan jadual kerjanya seperti biasa.

“Mengapa tanya, saya tidak boleh kerja? Saya masih Exco apapun sudah berlaku. Sesiapa pun boleh melontarkan tuduhan kepada sesiapa betul tidak?
“Tetapi tuduhan itu kena berasas. Dalam hal ini saya menafikan sekeras-kerasnya saya tidak pernah buat apa-apa. Saya percaya polis sedang membuat siasatan, saya tak boleh komen apa-apa. Masa akan buktikan segala-galanya itu saja,” katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya di sini pada Jumaat.


BACA: Exco Perak nafi tuduhan rogol dibuat pembantu rumah
BACA: Dakwaan rogol: Exco mungkin direhatkan jika siasatan berlanjutan - MB Perak
Yong, 49, sebelum ini didakwa merogol pembantu rumahnya berusia 23 tahun.


Sementara itu, dia turut mengulas kenyataan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang berkata dia mungkin akan direhatkan daripada tugas buat sementara waktu sekiranya siasatan polis terhadapnya berlanjutan.


“Kita kena faham, apa yang Menteri Besar cakap, kalau kes ini berlarutan lama ambil masa yang panjang maka mungkin dia nasihatkan saya supaya rehat dahulu. Itu maksud sebenarnya MB.
“Kita pun tidak tahu kes ni boleh berlanjutan berapa lama, kalau betul lanjut lama mungkin dia akan nasihatkan saya itu saja,” tambahnya.
#Ahmad Faizal Azumu #Exco #Exco Perumahan Kerajaan Tempatan Pengangkutan Awam Hal Ehwal #kerajaan #Menteri Besar #Paul Yong Choo Kiong #rogol #siasatan #Yong Choo Kiong
;