Mengapa senyap ketika pelantikan Apandi, soal Syed Saddiq
Sinar Harian
Jun 5, 2018 09:04 MYT
Jun 5, 2018 09:04 MYT
Negara tidak akan maju jika sikap pilih kasih yang tidak konsisten dalam pelantikan Peguam Negara diamalkan oleh para penasihat Yang di-Pertuan Agong.
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, timbul persoalan mengapa ada halangan dalam pelantikan Peguam Negara yang baharu, namun dikunci mulut apabila Tan Sri Mohamed Apandi Ali dilantik.
“Rakyat berhak untuk mengetahui alasan sebenar untuk kedua-dua isu.
"Rakyat mempersoalkan mengapa pelantikan Mohamed Apandi senyap sunyi dan tiada syarat tambahan yang diletakkan. Para penasihat Yang di-Pertuan Agong mestilah mendengar suara rakyat," katanya dalam kenyataan, pada Isnin.
Mengimbas kembali penamatan perkhidmatan bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail pada 2015, Syed Saddiq berkata, alasan 'isu kesihatan' yang diberikan mengejutkan ramai pihak.
Menurutnya, Abdul Gani tidak diberikan masa memadai untuk menjawab atau memberikan kenyataan rasmi berhubung perkara itu sebaliknya penggantinya, Mohamed Apandi terus dinamakan pada hari yang sama.
"Terdapat banyak khabar angin dalam media sosial yang menyatakan pengguguran beliau adalah kerana beliau adalah Ketua Pendakwaraya dan ahli penting dalam jawatankuasa yang menyiasat 1MDB.
"Ketika ini tiada persoalan berbangkit daripada penasihat Yang di-Pertuan Agong dalam isu ini.
"Mungkin gentingnya perkara terbabit adalah alasan untuk melakukan pelantikan segera, namun jika disemak semula kredibiliti Mohamed Apandi Ali, ia masih menimbulkan persoalan.
"Seorang bekas ahli UMNO yang pernah menjadi Bendahari UMNO Kelantan dilantik menjadi Peguam Negara menggantikan Abdul Gani dan mengepalai siasatan 1MDB," katanya.
Katanya, tiada persoalan dibangkitkan ketika pelbagai isu melanda Mohamed Apandi semasa menjadi Peguam Negara seperti membebaskan Ketua Penyiasat, Azilah Hadri dan Korporal Sirul Azhar Umar dalam kes Altantuya Shaaribu di samping membiarkan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengekalkan kerusi Bagan Datuk dalam cabaran undang-undang yang difailkan oleh calon PKR, Mahdi Hassan.
#1MDB
#Abdul Gani Patail
#halangan
#khabar angin
#media sosial
#Mohamed Apandi Ali
#Peguam Negara
#pelantikan
#penasihat
#senyap
#Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
#UMNO
#Yang di-Pertuan Agong