Mengapa sambut meriah kapal tentera laut China? - Saifuddin
Khalis Khadir
Oktober 9, 2024 18:30 MYT
Oktober 9, 2024 18:30 MYT
KUALA LUMPUR: Sambutan meriah terhadap dua kapal tentera laut China yang berlabuh di Pelabuhan Pulau Pinang disifatkan 'tidak masuk akal' terutama ketika perairan Malaysia iaitu di Sabah dan Sarawak diceroboh oleh aset negara berkenaan.
Pengerusi Biro Antarabangsa Bersatu, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, berkata kerajaan perlu lebih sensitif dalam mengendalikan sesuatu majlis agar tidak menimbulkan kemarahan rakyat.
“Mengapa sambut meriah kapal tentera laut China? Adakah Kementerian Luar Negeri dirujuk terlebih dahulu? Adakah ini keputusan Kementerian Pertahanan? Mengapa mereka diberi sambutan begitu hangat? Mengapa mereka diizinkan melawat ke sekolah? Mengapa sekolah itu yang dipilih?
“Kerajaan perlu lebih sensitif dan peka terhadap perasaan rakyat tatkala kita sering dimaklumkan oleh media mengenai pencerobohan aset-aset China di dalam perairan kita berhampiran Sabah dan Sarawak termasuk protes diterima Petronas berkaitan kerja-kerjanya di Kasawari,” katanya dalam kenyataan di Facebook pada Rabu.
Saifuddin menambah, lebih menimbulkan keresahan awam apabila kerajaan sehingga kini belum memberi penyelesaian mengenai kemasukan warga China ke negara ini yang sebahagiannya tidak dapat dikesan.
“Ini berkait rapat dengan keselamatan, kedaulatan dan jati diri kita. Saya harap Kementerian Pertahanan, kerajaan negeri Pulau Pinang dan Kementerian Pendidikan (KPM) memberikan penjelasan tentang perkara ini,” katanya.
Dalam masa sama beliau yang juga bekas Menteri Luar mengakui ia bukan satu kesilapan mutlak kerana sebelum ini negara mengizinkan banyak kapal tentera laut asing berlabuh tetapi kesemuanya mengikut prosedur.
“Tujuan mereka berlabuh ialah untuk mendapatkan bekalan makanan dan sebagainya. Pegawai dan anggotanya diizinkan mendarat, pasportnya dicop dan sebagainya. Terdapat protokol yang lazim digunakan oleh negara-negara di dunia termasuk apabila kapal TLDM berlabuh di pelabuhan negara asing,” ujarnya.
Terdahulu, Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang, Wong Hon Wai menasihatkan orang ramai tidak menimbulkan spekulasi berhubung kunjungan dua kapal latihan dari China bersama pelajar Naval University of China ke Pelabuhan Pulau Pinang.
Menurutnya, kunjungan silaturahim pada Sabtu itu dibuat mengikut saluran rasmi yang turut dihadiri Pegawai Residen Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Pulau Pinang.
Sebelum ini, Kerajaan Pulau Pinang mengumumkan kedatangan 1,000 pelatih tentera laut China ke negeri itu membabitkan Pasukan Tugas ke-83 Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA) yang menaiki dua buah kapal iaitu Kapal Latihan Qi Jiguang dan Kapal JinggangShan dari Zhanjiang.
Pelatih-pelatih dibawa melawat beberapa tempat menarik di Pulau Pinang selain berkesempatan berinteraksi dengan penduduk tempatan ketika sesi lawatan berkenaan.