"Mengapa orang Islam menuntut mereka dihormati hanya kerana berpuasa?"

Madiha Abdullah
Jun 24, 2015 14:39 MYT
"Mengapa Muslim di Malaysia mahukan mereka dihormati hanya kerana mereka berpuasa?" - Azhar
Satu status oleh pengguna Facebook dengan nama Azhar Harun viral sejak mula dimuat naik semalam.
Dalam status tersebut, Azhar meluahkan pendapat tentang isu umat Islam dan kehendak mereka untuk dihormati sepanjang bulan Ramadan.
Bersama status itu, Azhar turut meletakkan gambar meja belajar anaknya. Di situlah anaknya belajar, ditemani seorang tutor beragama Kristian.
Dan walaupun meja belajar anaknya itu terletak berhadapan dengan bingkai gambar yang bertulis perkataan Allah dan Muhammad, namun tutor anaknya itu tidak pernah merungut.
Kata Azhar, perkara tersebut menimbulkan pertanyaan tentang sikap segelintir Muslim yang mahu agar keadaan mereka yang sedang berpuasa dihormati.
"Mengapa Muslim di Malaysia mahukan mereka dihormati hanya kerana mereka berpuasa? Kenapa orang bukan Muslim perlu atur hidup mereka berdasarkan hidup kita, umat Islam?" tanya Azhar dalam posting tersebut.
Azhar merujuk kepada isu minum air kencing yang timbul di sebuah sekolah baru-baru ini.
Status tersebut menerima lebih 42,000 likes, dengan hampir 18,000 perkongsian.
Majoriti komen yang diterima Azhar berkaitan dengan status itu bernada positif. Kebanyakannya bersetuju dengan pendapat Azhar tentang sikap 'manja tidak bertempat' orang Islam.
Melalui maklumat di Facebook, Azhar berasal dari Sungai Petani, Kedah, manakala laporan dari beberapa media menyebut dia bertugas sebagai seorang peguam.
#Azhar Harun #Jendela Ramadan 2015 #Ramadan 2015
;