Mengapa janji PRU tiada dalam Kajian Separuh Penggal RMK11? - Najib

Firdaus Azil
Oktober 18, 2018 18:47 MYT
NAJIB: Segala 'aku janji' pada rakyat tidak disebut langsung dalam pembentangan tersebut. - Gambar fail/Astro AWANI
Tidak ada langsung janji-janji manifesto pilihan raya disebut dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11, yang dibentang di Dewan Rakyat hari ini, kata bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Jelasnya, ini menunjukkan kerajaan persekutuan pimpinan Pakatan Harapan (PH) langsung tidak ada niat untuk mengotakan janji mereka, sebaliknya manifesto berkenaan dibuat semata-mata untuk memenangi pilihan raya.
“Segala 'aku janji' pada rakyat tidak disebut langsung dalam pembentangan tersebut. Maknanya apa-apa yang telah dijanjikan itu pasti tidak akan ditunaikan.
“(Ini termasuklah) penghapusan tol, harga minyak, PTPTN, dan sebagainya,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, selepas pembentangan Kajian Separuh Penggal RMK11, 2016-2020 oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.
Selain itu, Ahli Parlimen Pekan itu berkata, banyak perkara yang disebut dalam pembentangan itu, hanyalah kesinambungan terhadap apa jua polisi yang dijalankan sewaktu era pemerintahan Barisan Nasional (BN) dahulu.
Bagaimanapun, katanya tidak ada perincian yang digariskan mengenai bagaimana kesinambungan polisi itu dapat dijalankan.
“Ada juga beberapa aspek yang kurang diberi penegasan yang (sebelum ini) menjadi keutamaan kepada kerajaan BN, umpamanya, pengangkutan awam. Saya lihat ini perkara pokok.. ini yang perlu kita lakukan.
"(Tetapi) tidak ada perincian tentang bagaimana pembangunan untuk merapatkan jurang perbezaan seperti negeri-negeri Pantai Timur, serta Sabah, dan Sarawak boleh dilaksanakan,” katanya lagi.
Selain itu, Najib turut musykil mengapa PH sering menganggap BN sebuah kerajaan yang gagal, dan boros dalam berbelanja, sedangkan dalam kajian itu jelas mengatakan hutang negara telah berkurangan daripada 54 peratus keluaran dalam negara kasar (KDNK) kepada 50 peratus.
“Maknanya macam mana kita (BN) boleh menjadi kerajaan boros kalau hutang kita semakin menguncup?
“Dan fiskal defisit kita pun dah berkurangan dalam tempoh tersebut. Jadi ada beberapa aspek yang merupakan kenyataan yang bersifat ‘labeling’ tetapi tak disokong dengan data yang dimuatkan buku yang
dibentangkan oleh kerajaan itu,” tambahnya.
#Aku Janji #Barisan Nasional #bekas perdana menteri #janji manifesto #Kajian Separuh Penggal #Najib Razak #Pakatan Harapan #pilihan raya umum #Rancangan Malaysia ke-11 #RMK11
;