Mengapa 20 peratus royalti minyak tidak boleh dilaksanakan? Petronas beri penjelasan

Dania Zainuddin
Februari 6, 2020 00:10 MYT
Wan Zulkiflee, isu bayaran 20 peratus ini tidak seiring dengan prinsip dan asas ekonomi. - Gambar fail/BERNAMA
Petronas menjelaskan bahawa bayaran 20 peratus royalti minyak kepada negeri pengeluar petroleum tidak dapat dilaksanakan kerana ia menjejaskan kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) yang melibatkan pengagihan pendapatan pengeluaran minyak dan gas yang dilaksanakan sejak 1995.
Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eskekutif Petronas Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin, isu bayaran 20 peratus ini tidak seiring dengan prinsip dan asas ekonomi.
Petronas menjelaskan dengan lebih terperinci menerusi carta grafik yang menunjukkan peratusan perkongsian bagi setiap tong minyak yang dijual.
Pengagihan pendapatan bagi setiap tong adalah; 5 peratus akan dibayar kerajaan persekutuan, dan 5 peratus lagi dibayar kepada kerajaan negeri. 70 peratus merupakan kos pengeluaran, dan baki 20 peratus lagi akan dikongsi antara Petronas, kontraktor dan cukai pendapatan.
“Jika kami membayar 20 peratus royalti kepada negeri pengeluar petroleum, ia akan melanggar prinsip ekonomi. Apabila perkara ini berlaku, tiada mana-mana pihak mahu buat pelaburan, termasuk Petronas.
“Dengan itu, saya percaya kita perlu letak tepi emosi dan politik dan fokus kepada prinsip ekonomi. Ini adalah sebab utama kami berkata 20 peratus royalti kepada negeri pengeluar petroleum tidak boleh dilaksakanakan,” kata Wan Zulkiflee.
Sebelum ini, isu bayaran 20 peratus royalti minyak kepada negeri pengeluar petroleum timbul kerana ia merupakan janji manifesto Kerajaan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum Ke-14.
Namun, Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad mengulas janji tersebut perlu dikaji semula supaya tidak menjejaskan syarikat Petronas.
#cukai #ekonomi #kerajaan #Mahathir Mohamad #Manifesto #menteri #minyak #Pakatan Harapan #pelaburan #Perdana Menteri #Petronas #pilihan raya #pilihan raya umum #politik #presiden #royalti
;