'Mengapa 1MDB masih belum diaudit?' - Nazir Razak

Kohilah Sekaran
Jun 12, 2015 08:41 MYT
NAZIR: Saya hairan mengapa audit bagi bulan Mac 2015 masih belum dimulakan
Pengerusi CIMB Holdings Bhd, Datuk Seri Nazir Razak sekali lagi membuat kenyataan mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menerusi laman sosial Instagramnya.
Dengan memuat naik gambar audit 1MDB, Nazir kali ini mempersoalkan pentadbiran syarikat milik kerajaan GLC atas tindakan syarikat pelaburan negara itu yang masih belum memulakan audit bagi bulan Mac 2015.
"Saya hairan mengapa audit bagi bulan Mac 2015 masih belum dimulakan? Bagaimanakah hal ini dibenarkan? Adakah pentadbiran GLC jatuh begitu rendah?” soal Nazir melalui kenyataan yang dimuat naik di akaun Instagramnya lewat semalam.
Posting yang dimuat naik kira-kira jam 10 malam mendapat perhatian para netizen berdasarkan komen yang ditinggalkan di bawah kenyataan tersebut.
Difahamkan, akaun-akaun 1MDB masih belum diaudit sejak lebih setahun yang lalu walaupun pelbagai kontroversi melanda syarikat itu terutama berhubung urusniaga, aset dan hutang.
Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) sebelum ini mencadangkan supaya Kementerian Kewangan segera mengarahkan firma audit untuk mengaudit akaun-akaun 1MDB bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2015.
Nazir juga pernah mengkritik tindakan eksekutif tertinggi 1MDB, Arul Kanda Kandasamy yang tidak hadir ke siasatan PAC melalui akaun Instagramnya baru-baru ini.
#1MDB #audit #Instagram #Nazir Razak
;