KEPALA BATAS: Polis menahan seorang lelaki yang mengamuk dan mengancam nyawa adik sepupunya dengan sebilah sabit dalam kejadian di sebuah kedai makan di Penaga, Kepala Batas, Pulau Pinang.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, lelaki itu ditahan kira-kira 11.30 pagi Rabu.

Noorzainy berkata, dalam kejadian jam 4.54 petang Selasa, lelaki berusia 45 tahun itu mengamuk selepas berang dituduh sedang menghisap dadah di dalam tandas di kedai makan berkenaan sehingga berlaku pertengkaran di antara mereka.

"Pengadu yang bekerja sebagai pembantu di kedai makan itu dikatakan menegur suspek kerana sering menghisap dadah di dalam tandas kedai makan berkenaan selepas menemui peralatan menghisap dadah yang dipercayai digunakan suspek.

"Suspek yang marah bertindak mengejar pengadu dengan pisau dan mahu memukul lelaki berusia 29 tahun itu, malah suspek juga dikatakan mengugut mahu membakar pengadu dan juga kedai tempat pengadu bekerja," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bertindak atas laporan yang di buat pengadu, Norzainy berkata suspek akhirnya diberkas dan pihak polis turut merampas sebilah sabit panjang berukuran 30 sentimeter yang dipercayai digunakan suspek semasa cuba menyerang pengadu.

Ujian saringan air kencing ke atas suspek didapati negatif namun siasatan mendapati dia mempunyai empat rekod lampau berkaitan dadah dan lima berkaitan jenayah.

Suspek direman empat hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Kesiksaan iaitu kesalahan ugutan jenayah.