Mengaku tampar pelayan restoran, lelaki tunjal kepala wanita dihukum penjara lagi

Abd Razak Mohd Ali
Jun 16, 2023 10:40 MYT
Mohamad Zaim (tengah) ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Cameron Highlands hari ini. - Foto Astro AWANI
CAMERO HIGHLANDS: Lelaki yang dihukum penjara tujuh hari kerana mengugut dan memukul kepala seorang wanita seperti tular dalam satu video baru-baru ini, dijatuhi hukuman penjara sembilan hari lagi hari ini.
Keputusan dibuat Mahkamah Majistret Cameron Highlands selepas tertuduh, Mohamad Zaim Faiz Tarmizi, 29 tahun, mengaku salah terhadap dua pertuduhan menampar dua pelayan restoran.
Majistret Qasiratul Jannah Usmani Othman turut mengenakan hukuman denda RM1,000 bagi setiap pertuduhan, atau penjara sembilan hari jika tertuduh gagal membayar denda.
Mahkamah bagaimanapun memerintahkan hukuman penjara dijalankan serentak bermula tarikh tangkapan, pada Khamis.
Mengikut pertuduhan, Mohamad Zaim yang bekerja sebagai penyelia kilang di Serdang, Selangor, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua pelayan restoran - Samir Das dan V Dennis Pillai.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah restoran steamboat di Tanah Rata, kira-kira jam 4.20 petang, 4 Jun lalu.
Bagi kedua-dua tuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, tertuduh sebak sambil dilihat mengesat air mata apabila merayu agar hanya dikenakan denda minima kerana isterinya akan bersalin hujung bulan ini, di samping mempunyai seorang anak kecil.
Tertuduh juga mengakui telah insaf selepas menjalani hukuman penjara tujuh hari atas kesalahan sebelum ini dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama di masa hadapan.
Timbalan Pendakwa Raya S Punitha bagaimanapun memohon mahkamah mengenakan hukuman yang setimpal bagi memberi pengajaran, selain kes tersebut tular di media sosial.
Pada 9 Jun, Mahkamah Majistret Tapah menjatuhi hukuman penjara tujuh hari selepas tertuduh mengaku bersalah mengugut dan memukul kepala seorang pemandu wanita.
#lelaki tunjal kepala wanita #tampar pelayan restoran #Mahkamah Majistret #Cameron Highlands
;