Mengaku guna dokumen palsu, pegawai Yayasan Perak didenda RM17,000
Abd Razak Mohd Ali
November 11, 2022 11:40 MYT
November 11, 2022 11:40 MYT
IPOH: Seorang pegawai Yayasan Perak didenda RM17,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini selepas mengaku bersalah menggunakan dokumen palsu untuk pembekalan pakej pakaian sukan empat tahun lalu.
Penolong Pegawai Pentadbiran, Abdul Malek Mansor, 50 tahun, membuat pengakuan itu selepas tuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda.
Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa dengan curang menggunakan sebagai tulen satu dokumen sebut harga bertarikh 2 Ogos 2018 berjumlah RM63,650 untuk melaksanakan pembekalan pakej pakaian sukan sempena Pesta Sukan Antara Yayasan Negeri ke-19, yang diketahuinya adalah satu dokumen palsu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Yayasan Perak, Ipoh pada 2 Ogos 2018.
Dia dituduh di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun sama, yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Maziyah Mansor manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Tertuduh yang ditangkap pada 26 Januari lalu, kemudiannya membayar denda.