Mengaji Marathon 12 jam tanpa henti, Saharul Ridzwan pun ikut serta

Mingguan Wanita
April 18, 2022 10:10 MYT
Pada tahun 2021, program Mengaji Marathon ini berjaya dilaksanakan dengan jayanya menerusi saluran YouTube MCPLUS. - Foto Mingguan Wanita/Instagram mcplus.my
RAMADAN ini hidupkanlah hari-hari dengan bacaan al-Quran. Sebagaimana tahun sebelumnya, Mengaji Marathon 12 jam tanpa henti anjuran MCPLUS diteruskan lagi tahun ini.
Kali ini lebih istimewa lagi, kerana tetamu jemputannya adalah pelakon terkenal, Saharul Ridzwan yang baharu saja pulang daripada menunaikan umrah bersama isteri tercinta.
Penyampai radio Zayan, Anas Tahir juga akan turut serta sebagai tetamu jemputan dalam program berkenaan.
JENDELA RAMADAN AL-MUBARAK
Mengaji Marathon yang bersiaran langsung selama 12 jam ini, dijayakan pada Selasa, 19 April 2022 ini, bersamaan bersempena sambutan Nuzul al-Quran.
Kali ini, program yang mendapat sambutan ramai dari tahun lalu turut disokong oleh Deep Faith.
Apa Itu Program Mengaji Marathon 12 Jam Tanpa Henti?
Menurut MCPLUS, program sebegini dilaksanakan bagi memberi peluang kepada mereka yang masih belum bermula atau tertinggal bacaan al-Quran dalam bulan Ramadan.
Inilah masanya untuk mereka mengejar kembali dengan ‘memancing’ 1 hari 1 juzuk. Seterusnya, membolehkan mereka berjaya khatam al-Quran sempena Ramadan.
“Mengikut pengalaman, peserta program ini akan mampu membaca sebanyak 10 hingga 12 juzuk selama 12 jam,” ujar jurucakap MCPLUS lagi.
Menariknya program ini, setiap bacaan al-Quran akan dibaca oleh pelbagai ustaz bertauliah. Dan kali ini, tetamu jemputan Saharul Ridzwan dan Anas Tahir juga akan bersama-sama membaca al-Quran.
Program ini merupakan anjuran kali kedua. Sebelumnya, iaitu pada tahun 2021, program ini berjaya dilaksanakan dengan jayanya menerusi saluran YouTube MCPLUS, di mana mengaji marathon berlangsung dari jam 6 pagi dan berakhir sehingga jam 6 petang.
Sambutan Luar Biasa Daripada Pelajar
Untuk pengetahuan, MCPLUS merupakan institusi pendidikan dalam talian yang cukup terkenal yang memberi bimbingan kepada pelajar UPSR, PT3 dan SPM.
Tenaga pengajarnya amat menitikberatkan perkembangan pelajar di luar silibus.
Idea awal tercetusnya program sebegini bila mana MCPLUS mengadakan bacaan al-Quran sebanyak satu juzuk setiap hari.
Ternyata, sambutan yang luar biasa diterima daripada para pelajar pusat tiusyen dalam talian terbesar di Malaysia ini.
Idea itu kemudiannya dikembangkan menjadi Mengaji Marathon dan terbuka kepada umum. Konsep sebegini juga membolehkan MCPLUS membantu lebih ramai peserta untuk khatam al-Quran pada bulan Ramadan.
Tentunya ini satu program yang sangat bagus untuk anak-anak remaja mahupun mak ayah bersama di dalam satu majlis ilmu. Apa tunggu lagi, rebutlah peluang ini yang cuma berlangsung di bulan. Ramadan ini.
Bagi mendapatkan info lanjut berkenaan acara ini, boleh layari dan mengikuti laman Instagram MCPLUS.
* Artikel asal disiarkan di Mingguan Wanita.
#Ramadan #MCPLUS #Saharul Ridzwan #Mengaji Marathon
;