Meneroka revolusi teknologi digital industri rel

Ts Dr Mohd Fahmy Abdullah
Februari 8, 2019 17:13 MYT
Dunia digital akan melengkapkan perubahan rel pada masa hadapan.
PELUANG untuk membawa dunia digital di dalam rel adalah sesuatu yang menarik.
Dunia digital akan melengkapkan perubahan rel pada masa hadapan.
Kita perlu melihat bagaimana penyelesaian digital dilakukan berdasarkan kepada idea 5C iaitu Collect (data), Correct, Connect, Commerce, Create dan industri seharusnya mencapai pemikiran pada masa hadapan dan bukan hanya memikirkan satu jangka masa.
Kita juga perlu sedar bahawa kita masih di peringkat permulaan era yang baharu dengan kemunculan big data, IoT, keselamatan siber, blockchain, cloud computing dan pengenalan wajah (facial recognition) yang merupakan aspek utama membawa perubahan persekitaran.
Memanfaatkan kelebihan rel berteknologi digital
Jika kita teliti bahawa industri rel berteknologi digital merangkumi hampir keseluruhan aspek termasuklah pengoperasian, pengalaman penumpang dan infrastruktur rel itu sendiri.
Mana tidaknya, rel berteknologi digital mampu mewujudkan lebih banyak ruang untuk lebih banyak rel dengan memaksimumkan isyarat kawalan rel digital dan membolehkan rel bergerak dengan jarak dekat dan selamat melalui infrastruktur sedia ada.
Bukan itu sahaja, jadual waktu rel yang fleksibel juga dapat direalisasikan berdasarkan pola perubahan permintaan penumpang dan barangan menerusi pemodenan reka bentuk jadual dan pengurusan lalu lintas dalam waktu yang sebenar.
Analisis yang moden dimanfaatkan agar lebih berkesan (bebas konflik) dan pilihan untuk laluan rel baru dapat diselaraskan apabila berlaku perubahan permintaan dari hari ke hari, minggu ke minggu dan musim ke musim.
Jika dilihat, kebanyakan jadual waktu pada masa sekarang dirancang, kebanyakannya secara manual di antara dua dan empat tahun lebih awal dan sebahagian besarnya adalah tetap.
Kewujudan bandar-bandar besar memerlukan kita lebih banyak pilihan dan kelonggaran terhadap perkhidmatan rel yang dapat menghubungkan lebih banyak penumpang ke tempat-tempat yang lebih banyak, lebih tepat daripada sebelumnya.
Di samping itu, ia dapat memberikan kemudahan lebih baik kepada para penumpang yang boleh mengakses maklumat dan perkhidmatan tiket bagi semua mod pengangkutan melalui aplikasi web dan mudah alih serta pendekatan data terbuka yang disediakan oleh pihak industri.
Sebenarnya, rel berteknologi digital merupakan pengangkutan global masa hadapan.
Sistem Kawalan Keretapi (TCS) merupakan salah satu contoh teknologi isyarat digital yang membolehkan lebih banyak rel bergerak dengan selamat pada bahagian tertentu trek.
Ia merupakan salah satu teknologi utama yang diperlukan untuk meningkatkan kapasiti rel dengan menggantikan isyarat rel secara tradisional dengan paparan komputer di dalam rel.
Di samping itu, ia memastikan dan membenarkan rel beroperasi pada had dan kelajuan pada titik maksimum dengan selamat.
Sekiranya terdapat pemandu yang diberikan kebenaran untuk memandu rel dan didapati rel tersebut melebihi had laju atau berada dalam keadaan bahaya, secara automatik TCS akan campur tangan untuk mengawal rel ataupun menghentikannya jika perlu.
Kecerdasan buatan (AI) dan keselamatan siber
Memanfaatkan Kecerdasan Buatan atau Artificial Intelligent (AI) juga merupakan elemen penting di dalam sektor pengangkutan awam terutamanya dalam industri rel.
Gabungan digitalisasi, IoT dan big data mungkin menyebabkan data explosion, namun ia merupakan satu langkah ke hadapan untuk menghasilkan lebih banyak penyelidikan berkaitan projek AI yang akhirnya dapat menyelesaikan dan memanfaatkan industri rel.
Sementara itu, keselamatan siber juga penting untuk melindungi dan memantau rangkaian dan sistem rel itu sendiri, mengekalkan pengoperasian dan membantu untuk memastikan rel bergerak dengan lancar.
Pihak kerajaan dan pakar keselamatan siber perlu bekerjasama untuk memastikan keselamatan yang berterusan dan menjadi keutamaan untuk memerangi ancaman siber.
Perkongsian di kalangan pihak berkepentingan dan berbeza-beza merupakan salah satu amalan terbaik untuk membantu mengurangkan kos eskploitasi rel yang boleh membawa kepada peningkatan keselamatan dan perlindungan.
Demi masa depan
Teknologi digital seharusnya dilihat sebagai salah satu aspek perubahan ke arah masa depan yang kian mencabar.
Industri tempatan harus mengambil peluang dan inisiatif untuk menjalankan penyelidikan dan pembangunan di dalam dunia digital agar industry rel terus relevan sepanjang zaman.
Hakikatnya, industri rel berfungsi sebagai penghubung di antara perkhidmatan penerbangan dan pelbagai mod pengangkutan darat yang menjadikannya multimodal penting untuk masa depan dan bagaimana penyelesaian digital dan teknologi inovatif memainkan peranan penting utk mencapai visi tersebut.
Kita perlu memastikan bahawa pendekatan gabungan di antara pembekal, pengangkutan dan insfrastruktur yang berbeza dengan teknologi digital adalah penting untuk menjadikan industri rel sebahagian daripada ekosistem terbaik untuk pergerakan pada masa akan datang.

* Dr. Mohd Fahmy Abdullah merupakan Penyelidik Utama, Pusat Kecemerlangan Industri Rel (ICoE-Rel), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia

** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.

#INDUSTRI REL #keselamat siber #Kolumnis AWANI #teknologi digital
;