'Menelusuri Ipoh: Dulu hingga kini' dedah sejarah, kisah Ipoh kepada orang ramai
Aida Aziz
April 8, 2023 09:15 MYT
April 8, 2023 09:15 MYT
IPOH: Pameran 'Menelusuri Ipoh: Dulu hingga kini' yang sedang berlangsung di Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak bertujuan memperkenalkan sejarah bandar raya ini kepada umum.
Pameran yang diadakan mulai 7 hingga 18 April itu sarat dengan pelbagai pengisian menarik termasuk panel jemputan yang membicarakan tentang Ipoh.
Menurut Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak, Rafidah Abdul Aziz, program seumpama itu julung-julung kali diadakan di perpustakaan tersebut sempena Tahun Melawat Ipoh 2023.
Turut dianjurkan program Sembang Santai 'Pengisahan Sejarah Ipoh' yang menampilkan dua ahli panel berpengalaman.
"Selain pengunjung tempatan kita juga mahu pelancong hadir ke sini dan menjadikan perpustakaan ini sebagai hab untuk pelbagai maklumat, khususnya sejarah Ipoh dan Perak.
"Kita mahu belia dan orang muda yang mungkin ada di antaranya tidak tahu langsung tentang sejarah Perak, sebab kita tahu golongan tersebut tidak begitu gemar membaca buku tetapi lebih kepada pengamatan grafik dan sebagainya.
"Kita hasilkan poster dan teks tentang sejarah, untuk menarik minat mereka khususnya pelajar sekolah, supaya mereka faham sejarah negeri mereka sendiri," katanya.
Rafidah berkata demikian pada sidang media selepas perasmian pameran tersebut di Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak, di sini, pada Jumaat.
Hadir sama, Pengarah Kanan Perkhidmatan, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) Zulkifle Jaafar Sidek.
Antara bahan yang dipamerkan seperti manuskrip, replika keris, koleksi kartunis Lat serta dokumen yang boleh menjadi rujukan orang ramai.
"Untuk hari ini, kita jemput ahli panel untuk ceritakan tentang sejarah Ipoh, mungkin untuk siri pameran seterusnya membabitkan topik lain pula," katanya lagi.
Sementara itu, Zulkifle berharap orang ramai dapat menjadikan perpustakaan sebagai sumber rujukan dan riadah seisi keluarga.
"MBI menyokong usaha perpustakaan dalam penganjuran program sebegini untuk rakyat negeri Perak, semoga ia memberi manfaat untuk rujukan semua," katanya.
Dalam pada itu, pelajar SMK Sultan Yussuf, Batu Gajah, Nur Aleeya Aishah Kamarul Ariffin, 19 tahun, berkata pameran tersebut sedikit sebanyak membuka peluang kepada dirinya untuk mendalami sejarah Perak.
"Hari ini saya hadir bersama-sama guru dan rakan-rakan lain, pelbagai bahan maklumat dan gambar tentang sejarah Ipoh yang kami pelajari.
"Sebelum ini memang jarang ke perpustakaan, tetapi kali ini ia membuka mata saya bahawa banyak perkara yang kita boleh rujuk, lebih-lebih lagi saya memang ambil subjek Sejarah untuk Tingkatan 6," katanya.
Program tersebut dianjurkan oleh Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak dengan kerjasama Jabatan Perancang Bandar MBI, Lembaga Muzium Negeri Perak, Arkib Negara Malaysia Negeri Perak, Persatuan Sejarah Malaysia Negeri Perak dan Tourism Management Berhad.