Mendidik anak berpandukan al-Quran
Bernama
Mei 30, 2019 17:20 MYT
Mei 30, 2019 17:20 MYT
Era teknologi ternyata mencabar bagi ibu bapa dalam melaksanakan tugas keibubapaan terutamanya dalam membentuk akhlak dan sahsiah anak namun, ia tidak menghalang Dayang Nurhashimah Ismail untuk mendidik anak tunggalnya menjadi insan berguna.
Wanita berusia 38 tahun itu yang juga guru Bahasa Inggeris di sebuah sekolah rendah di Kajang dekat sini menjadikan Al-Quran sebagai pendamping setia anak tunggalnya kerana beliau berpendapat kalam Allah itu sememangnya mampu membentuk keperibadian mulia seseorang individu.
Bagi menjadikan Al-Quran sebagai pendamping anak, ibu bapa harus memulakannya dengan membudayakan tadarus dan bertalaqqi Al-Quran di rumah, katanya kepada Bernama.
"Anak-anak zaman kini mudah terdedah dan terpengaruh dengan perkara negatif dari media sosial. Ibu bapa perlu sentiasa peka dengan segala kandungan media sosial yang diakses anak-anak.
"Saya sering mengingatkan anak supaya hanya menonton video yang berilmiah sahaja jika dia melayari Internet," katanya yang akan bersama-sama suami Eka Maulida Naf'an Munadi dan anak lelakinya Eka Zulfathi Najhan menyertai #QuranHour di Pustaka Raja Tun Uda, Shah Alam (30 Mei).
Pendekatan mendidik dengan Al-Quran dilihat sejajar dengan penganjuran World #QuranHour yang bertemakan Solusi Cabaran Sejagat iaitu kempen membentuk landasan solidariti ummah seluruh dunia di bawah naungan al-Quran.
Inisiatif itu diusahakan oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dengan matlamat untuk menggalakkan umat Islam berinteraksi dengan Al-Quran melalui Baca, Faham dan Amal ke arah menjadikan nilai-nilai mulia daripada Al-Quran untuk membentuk jiwa berbudi dan penyayang sehingga menjadi cara hidup seharian setiap insan.
GALAKKAN ANAK
Dayang Nurhashimah berkata didikan agama dengan memberi penekanan untuk mendalami Al-Quran bukanlah bermaksud menghalang anak daripada bersosial atau melakukan aktiviti seperti kanak-kanak lain.
Eka Zulfathi Najhan,12, yang lebih mesra dipanggil Eka juga tidak ketinggalan menikmati zaman kanak-kanak dengan bermain basikal, bola sepak serta bermain permainan dalam talian seperti kanak-kanak lain.
"Saya tidak pernah menghalangnya untuk bergaul dengan rakan sebaya serta bermain. Bagaimanapun, saya tetap memantau dan memberi nasihat sekiranya dia melakukan kesalahan," katanya.
Eka memperuntuk masa selama hampir tiga jam sehari terutama selepas solat Maghrib untuk bertadarus Al-Quran.
Beliau khatam Al-Quran seawal usia 8 tahun dan mampu menghafal surah Yasin dengan baik ketika usianya mencecah 6 tahun.
"Ketika kecil, dia meminati sebuah rancangan televisyen Discovery Channel yang memaparkan ilmu sains dan hidupan liar sehinggakan ada masanya, saya tidak mampu menjawab soalannya.
"Dari situ, minatnya terhadap sains semakin terbentuk," katanya.
Eka, yang bercita-cita menjadi saintis ulama yang mengetengahkan ilmu sains dan Al-Quran, pernah menyatakan hasrat untuk menyambung pelajaran ke sekolah menengah beraliran sains dan Al-Quran.
Beliau turut aktif dalam bidang sukan dan pernah mewakili sekolahnya dalam pertandingan bola baling peringkat daerah di samping mewakili bola sepak zon Bangi.
MINAT TILAWAH
Ketika ditanya tentang Al-Quran, Eka pantas menjawab bahawa Al-Quran adalah panduan hidupnya selain memperoleh ketenangan apabila membacanya dengan pelbagai jenis tarannum termasuk nahwan, razz, hijjaz, soba', bayati, jiharkah dan sikah.
Beliau pernah mewakili Malaysia bagi kategori tilawah dan hafazan al-Quran Antarabangsa kategori 13 tahun ke bawah dalam pertandingan Musabaqah Al-Quran Tijan An-Nour di Qatar pada Mac lalu, yang menyaksikan penyertaan 51 peserta dari seluruh dunia termasuk dari Amerika Syarikat, Canada, Singapura, Palestin, Indonesia, Pakistan, Bangladesh, Syria, Itali dan Perancis.
Eka, yang juga finalis Qari Junior anjuran TV3 pada 2017, turut mencipta rekodnya tersendiri apabila memperoleh pingat emas 10 Terbaik dalam International Olympiad of Quran, Art and Technology kategori hafazan juzuk 30 di Bandung, Indonesia pada tahun sama.
Bapanya yang juga doktor pergigian tidak kurang hebat dalam taranum Al-Quran dan pernah mendapat tempat ketiga dalam Majlis Tilawah Al-Quran (MTQ) peringkat universiti pada 2002.
Eka yang belajar di sekolah integrasi Raudhah Islamic School di Kajang turut menerima pendidikan taranum secara langsung dari beberapa guru taranum terkemuka seperti Normalina Alias yang pernah menjuarai kategori Qariah Tilawah MTQ Antarabangsa pada 2017 serta Nor Ruzana Natiah Jaafar yang juga Naib Johan Qariah Tilawah MTQ Kebangsaan 2017 dan 2018.
Beliau juga menjadikan pemegang sanad Sheikh Hisham Abd Bari Rageih dari Mesir sebagai idolanya bagi hafazan manakala Normalina bagi kategori tilawah Al-Quran.
-- BERNAMA
#Al-Quran
#anak
#cara hidup
#ibu bapa
#Islam
#khatam al-Quran
#media sosial
#peribadi mulia
#QuranHour
#solidariti ummah
#tadarus
#talaqqi
#World QuranHour
#WUIF
#Yayasan Warisan Ummah Ikhlas