Mendiang Tun Dr Lim diberi penghormatan negara

Bernama
Disember 26, 2012 20:52 MYT
Bekas Presiden Gerakan Tun Dr Lim Keng Yaik diberi penghormatan negara dengan perarakan keranda mendiang bermula kira-kira pukul 10.30 pagi ini dari kediamannya di Tropicana Golf and Country Resort.
Perarakan bermula dengan keranda mendiang, yang dibaluti Jalur Gemilang, diusung perlahan-lahan oleh anggota dari Bahagian Istiadat Angkatan Tentera Malaysia ke dalam kereta.
Perarakan sejauh kira-kira 50km itu melalui Menara PGRM yang menempatkan ibu pejabat parti Gerakan di Cheras menuju ke Krematorium Cheras.
Kira-kira 1,000 orang hadir di kediaman mendiang untuk memberikan penghormatan terakhir.
Selain anggota keluarga dan sahabat-handai, turut menyertai perarakan itu ialah Presiden Gerakan yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Naib Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong dan A.Kohilan Pillay.
#GERAKAN #Jalur Gemilang #Lim Si Pin #penghormatan #Tun Lim Keng Yaik
;