Mendiang Khoo Kay Kim dikebumi Sabtu ini

Hasimi Muhamad
Mei 28, 2019 14:53 MYT
Profesor Khoo Kay Kim meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya pagi tadi selepas mengalami masalah paru-paru. - Gambar fail
Sejarawan negara dan tokoh akademik, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim yang meninggal dunia akibat masalah paru-paru dibawa ke Nirvana Memorial Park (Nirvana) Sungai Besi, dekat sini bagi upacara penghormatan.
Menurut anaknya, Eddin Khoo upacara penghormatan terakhir akan diadakan bermula Khamis sehingga Sabtu ini.
Sementara, majlis pengebumian dijangka diadakan kira-kira pukul 10 pagi di Nirvana Memorial Park, Shah Alam.
“Untuk hari ini, tiada apa-apa majlis diadakan namun, mayat di bawa ke sini untuk disimpan.
“(Ahli keluarga) masih menunggu beberapa saudara dan adik Profesor (mendiang) misalnya yang tinggal di Australia untuk pulang dan pada hari Khamjs dan Jumaat ada majlis penghormatan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Jelas Eddin, upacara penghormatan terakhir juga terbuka kepada orang ramai.
Khoo yang dilahirkan di Kampar, Perak meninggalkan isteri Puan Sri Rathi Khoo, 75 tahun, serta tiga orang anak, Eddin, Rubin dan Mavin.
Beliau juga merupakan salah seorang penulis yang merangka Rukun Negara selepas rusuhan kaum pada 1969.
Mendiang yang berusia 82 tahun menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 10.13 pagi di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di ibu negara.
#Berita Nasional #Eddin Khoo #Khoo Kay Kim #masalah paru-paru #Mavin Khoo #meninggal dunia #Nirvana Memorial Park Nirvana #Nirvana Memorial Park Shah Alam #Rubin Khoo #Rukun Negara #sejarawan #Sungai Besi
;