Mendapan tanah: Masjid di Kampung Bawah Bukit masih selamat digunakan - JKR Perlis

Bernama
Oktober 9, 2024 15:45 MYT
Pemeriksaan awal JKR mendapati tiada sebarang kerosakan atau sebarang mendapan yang berlaku pada struktur bangunan masjid. - Gambar/ Sinar Harian
PADANG BESAR: Masjid As-Solihin di Kampung Bawah Bukit, Chuping dekat sini masih selamat untuk digunakan orang ramai setakat ini meskipun berlaku mendapan tanah berbentuk lubang besar di tapak bekas perigi lama dalam kawasan masjid itu.
Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Perlis Ir Norikhwan Abu Seman berkata mendapan itu hanya melibatkan kawasan setempat di tapak bekas perigi lama itu dan pemeriksaan awal pihaknya mendapati tiada sebarang kerosakan atau sebarang mendapan yang berlaku pada struktur bangunan masjid.
"Pemeriksaan visual menunjukkan tiada berlaku sebarang kegagalan struktur dan mendapan pada bangunan masjid. Kami telah mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengehadkan kawasan larangan hanya di sekitar bekas perigi serta pemantauan pergerakan tanah yang berlaku akan dibuat dari semasa ke semasa.
"Buat masa ini, kami sedang menunggu laporan lanjut daripada Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) untuk penyiasatan tanah yang dijalankan dan memohon orang ramai yang menunaikan solat di masjid ini supaya mengelak untuk masuk ke lokasi mendapan yang telah ditutup laluan.
"Serta melaporkan kepada pihak Jabatan (JKR) sekiranya terdapat perkembangan terbaharu mengenai mendapan yang berlaku ini," katanya ketika ditemui Bernama di lokasi mendapan tanah itu hari ini.
Semalam, media melaporkan jemaah masjid itu terkejut apabila berlaku mendapan tanah hingga menyebabkan sebuah motosikal hampir tertimbus dalam lubang berkenaan.
Norikhwan berkata maklumat awal mengenai mendapan tanah itu diperoleh pada petang Isnin lepas dan pihak JKR telah membuat tinjauan di kawasan masjid bersama pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs); Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs); Pejabat Pembangunan Persekutuan, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) dan JMG semalam.
Beliau berkata keputusan untuk menutup masjid itu akan dibuat selepas penyiasatan menyeluruh oleh pihak JMG.
"Jika laporan siasatan mendapati kedudukan masjid itu turut berlaku mendapan tanah dan perlu ditutup, masjid ini akan ditutup, sekiranya tidak, kami akan menjalankan pembaikan sewajarnya," katanya.
-- BERNAMA
#mendapan tanah #Perlis #masjid #Masjid As-Solihin
;