Mendapan baharu di Jalan Masjid India: DBKL, IWK ambil tindakan, pastikan keselamatan awam

Madiha Abdullah
Ogos 28, 2024 12:05 MYT
Kakitangan DBKL melakukan penutupan jalan hari ini berikutan terdapat satu lagi kejadian tanah mendap berlaku kira-kira 50 meter daripada lokasi tanah jerlus negara India di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Tindakan segera telah diambil oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk memastikan keselamatan kawasan di sekitar Jalan Masjid India.
Ini berikutan insiden tanah mendap yang berlaku berdekatan Pondok Polis Masjid India awal pagi tadi.
DBKL memaklumkan, pihak Indah Water Konsortium (IWK) kini sedang menjalankan pemeriksaan paip kumbahan di lokasi tersebut serta di kawasan sekitarnya bagi memastikan tiada kerosakan lanjut.
“Kami akan terus bekerjasama erat dengan Indah Water Konsortium serta agensi-agensi lain untuk memastikan tindakan susulan yang berterusan dan menyeluruh dilaksanakan untuk mencegah kejadian serupa daripada berlaku di masa hadapan.
“Keselamatan dan kesejahteraan warga Kuala Lumpur adalah keutamaan kami,” kata Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif.
DBKL juga, tambah beliau, akan terus memantau keadaan ini dan mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk memastikan keselamatan awam.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain tiba di Jalan Masjid India jam 11.30 pagi tadi.
Beliau meluangkan masa kira-kira 20 minit meninjau situasi mendapan baharu itu, selain turut diberikan taklimat mengenai perkembangan terbaharu operasi pencarian mangsa tanah jerlus minggu lalu.
#tanah jerlus #Masjid India #mendapan baharu #Indah Water Konsortium