Mendaki bukit semarakkan sambutan merdeka

Nur Fazlizai Ali
Ogos 26, 2019 09:00 MYT
Walaupun program berkonsepkan santai dan riadah, ia mampu memberikan erti tersirat kepada para peserta sempena ulang tahun ke-62 kemerdekaan negara. Foto Terengganu Merdeka Hike
Lebih 3,000 peminat sukan lasak menzahirkan rasa kecintaan kepada negara dengan melakukan pendakian merdeka menawan bukit di Terengganu.
Kesemua peserta yang terdiri dari pelbagai lapisan umur itu menakluki lapan puncak bukit serentak di seluruh negeri ini dalam program yang dinamakan Terengganu Merdeka Hike.
Menurut Penyelaras Program, Leftenan Kolonel Che Adam A Rahman, program yang julung kali diadakan itu juga mampu menarik minat peserta dari luar negara untuk turut sama menghayati erti kemerdekaan di negara ini.
Beliau yang juga Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Terengganu berkata, ia sekali gus dapat mempromosikan destinasi riadah di negeri itu.
"Apa yang menariknya pada kali ini para peserta turut membawa Jalur Gemilang semasa pendakian dan bendera itu dikibarkan sejurus peserta tiba di puncak bukit tersebut.
"Selain menekankan aspek kesihatan, program seperti ini juga turut menerapkan elemen pendidikan dengan menjaga alam sekitar serta melakukan kerja amal dengan mengutip sampah semasa mendaki," katanya kepada Astro AWANI.
BACA: Tidak kenal sejarah buat orang muda jiwa kosong
Kemeriahan itu dapat disaksikan bermula dari Bukit Keluang, Besut sehingga ke Bukit Harimau Menangis di Kemaman dan sambutan yang diterima sangat menggalakkan.
Che Adam berkata pihaknya berhasrat untuk meneruskan program seumpama itu pada masa akan datang dalam usaha menyemai semangat patriotik terutama kalangan kanak-kanak dan remaja.
BACA: Tukar nama sempena Hari Merdeka, jenama makanan segera ini terima pujian
Jelasnya, biarpun program itu berkonsepkan santai dan riadah namun ia mampu memberikan erti tersirat kepada para peserta sempena ulang tahun ke-62 kemerdekaan negara.
Katanya, program itu dianjurkan menerusi gabungan beberapa pertubuhan bukan kerajaan termasuk Tac Outdoor dan Kelab Eksplorasi Jerangau Barat.
#bukit #Jalur Gemilang #MaknaMerdeka #mendaki #MerdekaKu #NGO #semangat patriotik #sukan lasak #terengganu
;