Mendaki batu di Gua Kelam mampu rangsang aktiviti pelancongan, ekonomi tempatan

Bernama
Jun 16, 2022 04:40 MYT
Kem Induk Mendaki Batu Perlis @ Gua Kelam terdiri daripada 40 bilik dan 10 khemah premium. - Gambar fail
KANGAR: Perlis dijangka mampu merangsang sektor pelancongan bertemakan penjelajahan melalui pewujudan kem induk bagi aktiviti mendaki batu di Gua Kelam, Padang Besar.
Kem itu diilhamkan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang berhasrat meletakkan Indera Kayangan di peta dunia bagi penggemar aktiviti tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MyUS Venture Partners Sdn Bhd Group Datuk Nellsen Young berkata pihaknya telah menjalin kerjasama rapat dengan pendaki di Perlis dan individu yang sudah biasa dengan laluan pendakian di negeri itu untuk menghasilkan bentuk aktiviti mendaki batu serta pakej pengembaraan.
"Selain aktiviti mendaki batu, memandangkan kami bekerjasama dengan Jabatan Perhutanan Perlis, kami akan berusaha mempromosi alam semula jadi dan persekitaran yang indah di negeri ini dengan pakej lawatan serta pengalaman yang direka khas," menurutnya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata sebelum ini, aktiviti itu hanya ditumpukan kepada kumpulan khusus terdiri daripada individu yang gemar mendaki batu kerana ia memerlukan tahap kepakaran tertentu.
"Kem Induk Mendaki Batu Perlis @ Gua Kelam menyasarkan untuk menjadikan aktiviti ini lebih mudah diakses oleh semua melalui kemudahan yang disediakan di kem itu dengan bakat dan peralatan yang betul malah tempat latihannya sendiri, Pusat Eco-Adventure, bagi membantu orang baru, amatur hinggalah profesional," katanya.
Kem itu juga akan merangkumi tempat rehat dan rawat bagi pengunjung serta pendaki iaitu Eco-Adventure Boutique Accommodation selain kafe dalam hutan untuk mereka yang ingin menikmati makanan atau minuman ringan.
Dengan keluasan keseluruhan 23,094 kaki persegi dan kawasan binaan seluas 9,880 kaki persegi, Kem Induk Mendaki Batu Perlis @ Gua Kelam terdiri daripada 40 bilik yang boleh menampung empat orang sebilik dan 10 khemah premium yang mampu memuatkan empat individu setiap satunya serta diurus oleh MyEco Discovery Sdn Bhd.
Seorang peminat sukan mendaki batu tempatan Alif Ahmad pula berkata beliau gembira kem induk itu akan dibina bagi menyokong komuniti yang menggemari aktiviti itu.
"Pastinya ia akan menjadi nilai tambah yang besar apabila para pendaki menilai lokasi pendakian. Malaysia berpotensi menjadi hab mendaki batu di peringkat antarabangsa sekiranya terdapat kemudahan dan infrastruktur yang lebih baik untuk menyokong sukan ini," katanya.
-- BERNAMA
#sektor pelancongan bertemakan penjelajahan #MyUS Venture Partners #Nellsen Young #Daki batu di Gua Kelam
;