Mencipta kelas menengah baharu

Fakhrurrazi Rashid
Mei 1, 2019 18:33 MYT
Idea New Deal bagi pekerja muda perlu diperluaskan dan mengalami perubahan mengikut kehendak terkini. - Gambar hiasan
PERKEMBANGAN positif ekonomi Malaysia pada tahun 1980-an dan 1990-an berjaya melahirkan golongan kelas menengah dengan pekerjaan dan kadar gaji yang setimpal dengan Dasar Pembangunan Negara yang telah mengubah struktur pekerjaan negara ke arah peningkatan produktiviti.
Walaupun ekonomi negara berkembang maju dua dekad lalu, golongan muda berpendidikan tinggi hari ini masih sukar mencapai status kehidupan kelas menengah
Hakikatnya, gaji permulaan graduan baharu bekerja semakin menurun. Gaji permulaan graduan diploma menurun kepada RM1,376 pada tahun 2018 berbanding RM1,458 pada tahun 2010, manakala gaji permulaan untuk pemegang ijazah sarjana pula RM2,707 pada tahun 2018 berbanding RM2,923 pada tahun 2010. Ini semua dapatan Laporan Bank Negara Malaysia (BNM) 2018.
Persatuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) menyangkal dapatan ini dan menegaskan wujud peningkatan gaji graduan dari tahun 2010 hingga 2018. Apapun, pelbagai kajian dan laporan yang menunjukkan graduan dan pekerja muda berpendapatan kurang RM3,000 sebulan.
Kajian pengesanan graduan 2016 mendapati kadar gaji bulanan yang diperoleh oleh graduan diploma sebanyak RM1,000 hingga RM2,000 manakala graduan Ijazah Sarjana Muda mendapat sekitar RM1,000 hingga RM2,500.
Laporan Tahunan BNM 2015 menyatakan 54 peratus graduan mendapat gaji kurang daripada RM2,000 dan kadar gaji mereka secara umumnya tidak pernah berubah sejak 2007. Malah Kajian Pengesanan Graduan juga menunjukkan majoriti graduan berpendapatan RM3,000 ke bawah.
Pekerja muda berkelulusan SPM ke bawah juga merasai beban yang sama dalam usaha meningkatkan taraf hidup. Meskipun gaji pokok bulanan minimum benar mereka meningkat dari tahun 2010 hingga 2018, tetapi kadar gaji mereka masih rendah di bawah RM2,000 sebulan.
Hakikatnya, kelayakan pendidikan tinggi tidak lagi menjadi satu-satunya indikator untuk memperbaiki taraf hidup mereka. Kajian Khazanah Research Institut (KRI) pada tahun 2016 mendapati 62 peratus pekerja muda mempunyai tahap pendidikan yang lebih tinggi berbanding ibu bapa mereka. Tetapi, hanya 37 peratus daripada mereka mempunyai kemahiran yang melebihi ibu bapa mereka.
Gaji pekerja muda akan kekal rendah sekiranya tidak mempunyai kemahiran yang diperlukan industri dan keadaan ini menyukarkan lagi impian untuk merasai kehidupan golongan kelas menengah.
Di Malaysia, golongan ini dirujuk sebagai M40 (pertengahan 40%) dengan purata gaji median sebanyak RM6,502. Malah, purata gaji pekerja muda juga kurang dua kali ganda daripada gaji median negara pada RM5,228.
Dengan kadar gaji yang rendah dibawah RM 3,000, pekerja muda sukar untuk memiliki rumah. Laporan Ekonomi 2019 menyatakan purata harga rumah meningkat 9.3 peratus berbanding pendapatan isi rumah, iaitu sebanyak 8.1 peratus.
Pelbagai skim bantuan perumahan untuk golongan belia, tetapi ia kurang berkesan. Contohnya, Skim Perumahan Belia (YHS) untuk membantu pasangan muda yang berkahwin dengan pendapatan isi rumah sebanyak RM10,000 ke bawah bagi memiliki harga rumah pertama dibawah RM500,000. Sebanyak 20,000 tawaran diberikan, cuma 1,600 (8 peratus) permohonan yang diluluskan kerana majoriti pemohon tidak mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh.
Pertumbuhan ekonomi negara sedekad lalu benar-benar tidak dirasai oleh pekerja muda dalam bentuk kenaikan gaji. Struktur ekonomi negara yang dipacu oleh kemahiran sederhana dan rendah serta upah yang murah telah menghadkan kemampuan pekerja muda untuk mendapat gaji yang setimpal.
Ini menunjukkan mobiliti sosial dalam kalangan anak muda berlaku dengan perlahan. Laporan Bank Dunia 2014 menyatakan Malaysia mempunyai 51 peratus golongan kelas menengah, tetapi 16 peratus daripadanya berpendidikan tinggi. Fakta ini memperjelaskan Malaysia mempunyai golongan kelas menengah ‘lama’ berbanding yang baharu.
Ke arah Kelas Menengah baharu
Malaysia memerlukan golongan kelas menengah baharu, terdiri daripada pekerja muda yang mempunyai pendapatan yang stabil dan jaringan keselamatan sosial yang kukuh. Kewujudan kumpulan ini akan menambah kemakmuran dan mengubah lanskap ekonomi negara.
Kerajaan perlu mempunyai satu perancangan atau ‘New Deal’ (Perancangan Baharu) bagi membuka ruang kepada orang muda menjadi golongan kelas menengah. Maka, apakah fokus utama ‘New Deal’ ini?
Pertama, memperkenalkan dasar meningkatkan kemahiran pekerja muda. Kerajaan perlu beralih daripada pemikiran lama, mengambil kira jumlah pekerjaan ditawarkan kepada idea membentuk pekerjaan mengikut kemahiran dan bidang khusus. Langkah ini dapat menguruskan isu ketidakpadanan kerja dan kemahiran pekerja muda yang menyebabkan mereka mendapat gaji yang tidak setimpal dengan kemahiran mereka.
Kedua, dasar perumahan untuk pekerja muda perlu diperluaskan. Skim perumahan belia yang ada tidak mampu memenuhi kehendak pekerja muda. Cadangan seperti pemberian subsidi sewa rumah kepada pekerja muda, khususnya menetap di bandar, boleh menggantikan skim perumahan sedia ada. Ia harus tertumpu kepada golongan sasar, berpendapatan bawah RM 3,000 sebulan dan bilangan isi rumah. Kaedah ini membantu pekerja muda menyimpan pendapatan mereka untuk membeli rumah yang mereka mahukan dalam jangka masa panjang.
Ketiga, sistem pekerjaan Malaysia perlu distrukturkan semula dengan lebih dinamik, memberi penekanan kepada jaringan keselamatan sosial pekerja. MEF mendapati mereka yang bekerja sendiri kini sudah meningkat hampir 123% kepada 1.7 juta orang berbanding hampir 700,00 orang pada tahun 2010.
Mereka berhadapan dengan isu pendapatan yang tidak tetap dan tiada jaringan keselamatan sosial. Maka, ‘New Deal’ harus mengambil kira setiap individu yang bekerja mendapat manfaat agar pekerjaan mereka dapat menampung kehidupan mereka yang lebih stabil walaupun mereka yang bekerja sendiri.
Idea ‘New Deal’ bagi pekerja muda perlu diperluaskan dan mengalami perubahan mengikut kehendak terkini. Dasar ini bukan sahaja menjamin berlakunya mobiliti sosial ke atas pekerja muda, tetapi kaedah berkesan dan membantu orang muda keluar daripada golongan B40.

* Fakhrurrazi Rashid ialah Koordinator Program Research For Social Advancement (REFSA).
** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
#anak #Bank Negara #Bank Negara Malaysia #Belia #ekonomi #hari buruh #jaringan keselamatan sosial #kerajaan #keselamatan #Khazanah #Kolumnis AWANI #Malaysia #mobiliti sosial #New Deal #Pekerja #pendapatan tidak tetap #pendidikan #rumah #SPM #subsidi
;