Mencari Hilal Ramadan, eksklusif Astro AWANI bersiaran dari Menara KL malam ini
Astro Awani
Mac 22, 2023 18:30 MYT
Mac 22, 2023 18:30 MYT
KUALA LUMPUR: Astro AWANI bakal membawakan kepada anda liputan istimewa pada malam ini, bersiaran secara langsung dari Menara Kuala Lumpur (Menara KL), iaitu salah satu lokasi untuk melihat anak bulan Ramadan.
Siaran eksklusif berkenaan bagi merakam kemeriahan menjelang pengumuman 1 Ramadan melalui segmen 'Mencari Hilal Ramadan' di menara ikonik yang berketinggian 421 meter.
Dengan umat Islam di seluruh negara menghitung detik kembalinya Ramadan, Astro AWANI memulakan siaran langsung di Menara KL dengan laporan terkini Cerapan Hilal Ramadan 1444H Wilayah Persekutuan pada pukul 7.30 malam hingga 7.45 malam.
Segmen tersebut dikendalikan oleh wartawan dan penyampai Astro AWANI, Hilal Azmi dan disiarkan di semua platform digital dan media sosial Astro AWANI.
Ia kemudian diteruskan dengan pelbagai perkembangan berita dalam dan luar negara menerusi segmen AWANI745 dan SinarAWANI bermula jam 7.45 hingga 8.30 malam, bersama penyampai Hakim Rahman.
Momentum itu disambung pula dengan kupasan menarik dihiasi pemandangan indah dari menara komunikasi tersebut dalam program Agenda AWANI pada pukul 8.30 malam.
Agenda AWANI yang dihoskan oleh Nazri Kahar akan menampilkan tetamu-tetamu seperti Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Prof. Madya Luqman Abdullah dan dua ahli Jawatankuasa Melihat Anak Bulan Wilayah Persekutuan iaitu, Muhammad Daud Mahdzur dan Shahrin Ahmad.
Ini bukan pertama kali Astro AWANI bersiaran dari luar, dengan yang terbaharu sebelum ini adalah di Stesen MRT Putrajaya.
Jangan lupa janji temu anda malam ini di saluran 501, www.astroawani.com serta semua platform digital dan media sosial kami.