Menara Merdeka PNB 118 sudah lebih 42 peratus siap
Bernama
Oktober 30, 2019 19:48 MYT
Oktober 30, 2019 19:48 MYT
Bangunan ikonik Permodalan Nasional Bhd (PNB), Menara Merdeka 118 ketika ini telah 42 peratus siap dan mencapai setinggi 84 tingkat.
Kerja pembinaan bangunan tersebut bermula pada 2016.
Pengerusi Kumpulan, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata pembangunan mercu tanda PNB, Menara Merdeka 118 yang berprestij itu akan menjadi penggabungan luar biasa seni bina bersejarah dan kontemporari yang terletak di kawasan Kuala Lumpur yang meriah.
"Menara Merdeka 118 tingkat menghadap dua mercu tanda negara, Stadium Negara dan Stadium Merdeka, di mana kemerdekaan Malaysia diisytiharkan pada tahun 1957.
"Apabila siap menjelang 2021, menara berketinggian 835 meter itu akan menjadi mercu tanda baharu di Kuala Lumpur," katanya ketika berucap pada majlis makan tengah hari bagi memberi perkembangan terkini mengenai pembangunan tersebut.
Ia diadakan bersempena Sidang Kemuncak Korporat PNB 2019 (PCS 2019) yang pertama kali dianjurkan hari ini dan bertemakan "Merangsang Semula Korporat Malaysia".
Sidang kemuncak sehari itu dianjurkan oleh PNB Research Institute Sdn Bhd, cabang penyelidikan milik penuh PNB.
Zeti juga berkata menara itu menyasarkan penarafan tiga platinum dalam pensijilan Kepimpinan dalam Reka Bentuk Tenaga dan Alam Sekitar (LEED), Indeks GreenRE dan Indeks Bangunan Hijau. Ini akan menjadikannya yang pertama di Malaysia mendapat penarafan sedemikian.
-- BERNAMA
#bangunan tertinggi
#Kuala Lumpur
#menara pnb 118
#pencakar langit
#Permodalan Nasional Berhad
#pnb 118