Menara Merdeka 118 mercu kejayaan meniti kemerdekaan - Agong
Bernama
Januari 10, 2024 23:10 MYT
Januari 10, 2024 23:10 MYT
KUALA LUMPUR: Rakyat perlu melihat Menara Merdeka 118 sebagai kejayaan dalam meniti liku-liku kemerdekaan sehingga sebuah negara serba rencam dan majmuk dapat disatukan atas semangat nasionalisme yang tinggi.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah mercu tanda baharu itu adalah simbol rakyat meraikan kepelbagaian negara sebagai realiti wajah Malaysia yang merdeka.
"Dari sudut mana sekalipun kita melihat menara ini, ia memberi cerminan bagaimana negara kita telah melalui peredaran zaman sehingga akhirnya maju jaya dalam pelbagai bidang dengan struktur sosial dan nilai perpaduan menurut acuan kita yang tersendiri.
"Justeru, rakyat Malaysia sewajarnya berasa bangga kerana Menara Merdeka 118 ini adalah bukti kejayaan Malaysia yang berterusan," titah baginda pada Majlis Perasmian Menara Merdeka 118 di sini hari ini.
Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Pada masa sama, Al-Sultan Abdullah berkenan merasmi dan memasyhurkan Masjid Al-Sultan Abdullah yang merupakan masjid utama di Kompleks Menara Merdeka 118 serta menzahirkan ucapan terima kasih kerana sudi menamakan ia dengan nama baginda.
"Ia adalah satu tanda ingatan dan hadiah yang sungguh berharga kepada beta dan Raja Permaisuri Agong yang akan kami hargai selagi nyawa di kandung badan," titah baginda.
Al-Sultan Abdullah merakamkan ucapan tahniah kepada seluruh warga Permodalan Nasional Berhad (PNB) kerana menjadikan pembinaan Menara Merdeka 118 satu kenyataan.
Baginda turut menzahirkan keyakinan PNB sebagai sebuah institusi pelaburan utama negara yang akan terus melangkah maju dalam usaha memperkasakan ekonomi negara.
"Marilah sama-sama kita berdoa semoga ekonomi negara akan terus berkembang maju dan keamanan serta kesejahteraan akan terus berkekalan buat negara Malaysia yang kita cintai ini," titah baginda.
Menara Merdeka 118 itu dimiliki PNB melalui anak syarikat milik penuhnya iaitu PNB Merdeka Ventures Sdn Bhd.
Menara canggih yang memiliki 118 tingkat dengan ketinggian 678.9 meter itu adalah yang kedua tertinggi di dunia selepas Burj Khalifa Dubai (828 meter).
Al-Sultan Abdullah turut menyambut baik usaha PNB melakukan restorasi Stadium Merdeka kepada keadaan asalnya seperti pada tahun 1957.
"Kini tersergam indah di lokasi yang penuh bersejarah ini ialah sebuah menara pada ketinggian 678.9 meter dengan puncak menara yang secara simboliknya melambangkan aksi laungan kemerdekaan oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj 67 tahun yang lepas.
"Mercu tanda baharu ini yang berdiri megah di hadapan stadium keramat, yang menjadi bukti kelahiran sebuah negara merdeka, membawa seribu pengertian yang penuh bermakna," titah baginda.
-- BERNAMA