Menara Kuala Lumpur, Pintasan Saloma dilimpahi cahaya sempena Hari NTD
Astro Awani
Januari 30, 2022 21:58 MYT
Januari 30, 2022 21:58 MYT
KUALA LUMPUR : Menara Kuala Lumpur dan Pintasan Saloma dilimpahi dengan cahaya lampu sebagai tanda solidariti memerangi Penyakit Tropika Yang Terabai atau Neglected Tropical Diseases (NTD) bermula jam 7 malam tadi.
Ia adalah antara usaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam Pencahayaan 100 Mercu Tanda di Seluruh Negara sempena sambutan Hari NTD.
Dalam satu kenyataan, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, tahun ini merupakan penglibatan kali kedua negara dalam sambutan World NTD dan fokus utama Malaysia adalah memerangi penyakit denggi.
"Selama empat dekad, beban global daripada denggi telah meningkat secara mendadak. Peningkatan ini sangat membimbangkan, terutamanya dengan perubahan iklim yang membawa kepada fenomena pemanasan global yang turut member kesan dalam transmisi penyakit denggi," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Katanya, KKM dengan kerjasama Crown Prince Court of Abu Dhabi, Yayasan Bill & Melinda Gates, Carter Center, The END Fund, Uniting to Combat NTDs, DNDi dan lebih 300 pemimpin kerajaan, kesihatan, komuniti dan perniagaan melaksanakan pelbagai aktiviti kesedaran termasuk ceramah pakar kesihatan serta penyampaian maklumat berkenaan NTD kepada masyarakat dalam usaha menghapuskan NTD secara menyeluruh.
Hari NTD disambut pada 30 Januari setiap tahun dan Malaysia terus komited menyertai usaha komuniti global untuk menamatkan NTD serta membebaskan generasi akan datang daripada penyakit kemiskinan.
Sambutan Hari NTD pada tahun ini mengetengahkan tema "100 percent Committed" bertujuan menyeru para pemimpin peringkat global menunjukkan solidariti dan komitmen penuh mendokong sasaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menghapuskan NTD di 100 negara menjelang 2030.
NTD merangkumi 20 jenis penyakit seperti denggi, Chikungunya, Chagas Disease, Buruli Ulcer dan lain-lain yang mampu melemah, menjejaskan fizikal serta boleh menyebabkan kematian.
Untuk rekod, lebih 1.7 bilion orang atau bersamaan 24 peratus populasi dunia dijangkiti NTD.