Menara KL terus kekal destinasi utama pelancong di ibu kota
Bernama
Disember 24, 2016 22:31 MYT
Disember 24, 2016 22:31 MYT
Menara Kuala Lumpur (Menara KL) terus menjadi tumpuan pelancong apabila mencatatkan kira-kira 850,000 pengunjung, melebihi sasaran yang ditetapkan untuk tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Meor Shahril Anuar Ahmad Rathuan berkata 60 peratus daripada jumlah pengunjung itu adalah pelancong luar negara manakala selebihnya adalah pelancong tempatan.
Beliau berkata jumlah terbabit bukan sahaja mengatasi sasaran kehadiran 800,000 pengunjung untuk tahun 2016, malah menunjukkan trend peningkatan ketara berbanding 715,000 pengunjung direkodkan sepanjang 2015.
Katanya dua tarikan terbaharu ditawarkan Menara KL pada tahun ini iaitu Sky Box, bilik kaca yang terkeluar dari tebing pelantar terbuka (Sky Deck) serta rumah terbalik (Upside Down House) merancakkan kehadiran pelancong ke mercu tanda ibu kota berkenaan.
"Dua produk baharu itu yang mula beroperasi sejak pertengahan tahun ini telah membantu meningkatkan kira-kira 20 peratus keseluruhan kehadiran pengunjung ke sini terutama dalam kalangan pelancong tempatan.
"Jumlah kehadiran pengunjung dijangka terus meningkat terutama pada waktu cuti sempena sambutan perayaan Krismas serta sambutan tahun baharu disertakan promosi melibatkan pelbagai aktiviti kepada pengunjung," katanya.
Meor Shahril Anuar ditemui Bernama selepas berakhirnya Pertandingan Bintang Eryns Menara KL, di sini, hari ini.
Tambahnya, pengurusan Menara KL akan terus merancang pelbagai aktiviti serta produk tarikan pelancong terbaharu di bangunan setinggi 421 meter yang terletak di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur itu.
"Kita akan terus menyusun atur strategi, program dan memperkenalkan produk terbaharu bagi memastikan Menara KL kekal relevan dalam menjadi antara tarikan utama serta lokasi wajib pelancong yang datang ke negara ini," katanya.
-- BERNAMA
#Menara KL
#Meor Shahril Anuar Ahmad Rathuan
#Pertandingan Bintang Eryns
#Sky Deck
#Upside Down House