Menara Exchange 106: Siap dibina, mercu tanda baharu pencakar langit di KL
Astro Awani
Julai 11, 2022 08:00 MYT
Julai 11, 2022 08:00 MYT
KUALA LUMPUR: Menara ikonik baharu di Malaysia, Exchange 106 telah siap dibina sekaligus menambah permata baharu di Kuala Lumpur.
Menara dengan ketinggian 450 meter itu menjadi mercu tanda baharu dan sebahagian daripada projek Tun Razak Exchange (TRX).
Ia akan menempatkan jenama terkemuka global beroperasi di situ, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan negara sebagai destinasi pilihan utama pelabur di rantau ini.
Dibina oleh Perbadanan Kejuruteraan Pembinaan China (CSCEC) menggunakan teknik dan peralatan moden, bangunan itu telah disiapkan dalam tempoh yang tidak pernah dilihat di Malaysia sebelum ini.
Menurut Pengurus Besar Exchange 106, Patrick Honan, pihaknya bekerjasama dengan beberapa kontraktor utama seperti China State Construction.
"Exchange 106 adalah bangunan yang sangat tinggi, 106 tingkat dan ia adalah sebahagian daripada Tun Razak Exchange, yang merupakan pembangunan induk baharu yang ditetapkan untuk menjadi CBD baharu KL.
"Kami bekerjasama dengan beberapa kontraktor utama seperti China State Construction. Kami memerlukan kepakaran mereka dalam struktur yang sangat tinggi. Ia membolehkan kami mendapatkan binaan yang sangat pantas.
"Kami mencapai pembinaan ini dalam masa lebih tiga tahun sahaja untuk menyiapkan dan membukanya, yang mana sangat luar biasa jika dilihat kepada saiz bangunan," katanya.
Sejak penubuhan inisiatif 'Belt and Road', Malaysia telah menjadi peserta yang berminat dalam projek pembuatan, menaik taraf dan membangunkan infrastruktur, serta membina perbandaran dan taman perindustrian.
Ia dijangka membawa masuk penyewa pertamanya pada Disember ini dan penyewanya telah mula beroperasi dari Exchange 106 sejak Mac 2020.
Exchange 106 menerima Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) penuh pada Disember 2019 dan penyewanya telah mula beroperasi dari Exchange 106 sejak Mac 2020.
Dengan ketinggian 452 meter, Exchange 106 tergolong antara 10 bangunan pejabat tertinggi di dunia.
Reka bentuk yang bertaraf dunia, menjadikannya setanding hartanah terkemuka antarabangsa lain seperti The Shard, bangunan di Canary Wharf, London; One World Trade Centre New York, Amerika Syarikat; dan Shanghai IFC.