Menara Berkembar, Menara KL bertukar 'merah mak ngah' sempena Tahun Baharu Cina
Astro Awani
Januari 21, 2023 23:30 MYT
Januari 21, 2023 23:30 MYT
Pengunjung dari dalam dan luar negara teruja menyaksikan Menara Berkembar Petronas yang bergemerlapan dengan sinaran cahaya merah. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Menara Berkembar Petronas pada malam ini 'bertukar' cahaya merah sempena sambutan Tahun Baharu Cina.
Gemerlapan sinaran warna merah pada menara berketinggian 1,483 kaki itu dikongsi beberapa pengguna media sosial, yang dilihat teruja menyaksikan warna berkenaan.
Difahamkan, bangunan menara itu dihiasi cahaya merah sekitar jam 7 petang tadi.
Semakan Astro AWANI juga mendapati laman sosial Instagram Petronas Twin Tower turut ulang siar beberapa gambar menunjukkan menara berkenaan berwarna merah, yang dirakam oleh warganet.
Ini bukan pertama kali Menara Berkembar Petronas dihiasi cahaya warna.
Sebelum ini, menara ikonik itu turut diserikan dengan lampu bertemakan warna Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kemerdekaan.
Selain Menara Berkembar KLCC, pembaca Astro AWANI turut memaklumkan warna sama turut menghiasi Menara Kuala Lumpur.
Dalam perkembangan lain, Suria KLCC dalam kemas kini di Facebook turut memuat naik beberapa keping gambar memaparkan hiasan sempena Tahun Baharu Cina, dengan memaparkan elemen bandar China purba yang mengagumkan.
Ia turut diserikan dengan hiasan tanglung dan pohon sakura.
Sejak beberapa hari lalu, orang ramai tidak melepaskan peluang merakam replika arnab terbesar di Malaysia yang diperbuat daripada syiling emas, yang menjadi hiasan sempena sambutan perayaan Tahun Baharu Cina di pusat beli-belah Suria KLCC.
Replika arnab tersebut boleh disaksikan pengunjung Suria KLCC sehingga 5 Februari ini.